Khamis, 17 Oktober 2019 | 8:00pm
Antara bahan bacaan dipamerkan di Pesta Buku Frankfurt. - Foto EPA

Krisis iklim 'hijaukan' Pesta Buku Frankfurt

FRANKFURT: Daripada buku kanak-kanak mengenai pengurangan plastik hingga tips sifar pembaziran dalam masakan, isu krisis iklim jelas mendominasi Pesta Buku Frankfurt tahun ini.

Ia memperlihatkan bagaimana pentas penganjuran penerbitan terbesar dunia merangsang pembaca rentas generasi agar peka kepada alam sekitar sama ada pada atau di luar pentas.

Iklan buku kanak-kanak yang diinspirasi daripada tindakan aktivis remaja, Greta Thunberg berjudul Greta and the Grown Ups di Pesta Buku Frankfurt. - Foto AFP

Pada usia 23 tahun, Luisa Neubauer, ialah aktivis perubahan iklim paling terkenal di Jerman selepas menjadi tonggak dalam tunjuk perasaan Fridays for Future, yang dimulakan aktivis remaja Sweden, Greta Thunberg.

Di Pesta Buku Frankfurt, pelajar universiti yang terkenal dengan tegas dan serius itu, akan berdepan dengan ahli politik tempatan dalam debat mengenai lombong arang batu, sekali gus membentangkan bukunya mengenai situasi iklim mencemaskan.

“Apabila anda melihat kepada apa yang berlaku dengan sistem planet kita, ia menakutkan. Persoalannya, apakah yang kita akan lakukan mengenainya,” katanya dalam rakaman video di Pesta Buku Frankfurt.

Neubauer berkata, manusia mungkin memerlukan sedikit penentangan atau revolusi dalam usaha membangkitkan kesedaran warga dunia terhadap pemanasan global, sekali gus menarik minat generasi muda.

Penerbit juga tidak ketinggalan bertindak pantas menerbitkan buku mengenai topik alam sekitar yang menyasarkan pembaca muda.

Penerbit tidak lepaskan peluang menerbitkan lebih banyak buku mengenai alam sekitar yang menyasarkan pembaca kanak-kanak. - Foto EPA

Menurut Nielsen Book Research, penjualan buku berfokus iklim untuk kanak-kanak meningkat hampir dua kali ganda di United Kingdom (UK) dan India dalam tempoh sembilan bulan pertama 2019 berbanding tahun sebelumnya.

Jualan buku topik berkenaan di Jerman pula meningkat dengan ketara, menurut GfK Entertainment.

Pengkritik kesusasteraan kanak-kanak terkemuka Jerman, Ralf Schweikart, berkata buku membantu kanak-kanak mencari jawapan kepada persoalan perubahan iklim yang hangat diperkatakan.

“Ini kerana kanak-kanak melihat imej beruang kutub kelaparan di media, selain merasai kesan gelombang haba musim panas baru-baru ini,” katanya kepada AFP.

Ibu bapa boleh memilih buku mengenai perubahan iklim bersesuaian untuk anak-anak di Pesta Buku Frankfurt. - Foto EPA

Bagi ibu bapa yang tidak mahu menakut-nakutkan anak-anak ketika membacakan cerita malapetaka iklim dunia sebelum tidur, Schweikart memberikan pilihan judul yang bersifat tempatan dan mempunyai pendekatan amali dengan aktiviti DIY.

Umpamanya buku Plastic? Try Going Without! karya Dela Kienle, peminat aiskrim digalakkan menggunakan kon berbanding cawan plastik atau menganjur parti ulang tahun kelahiran tanpa belon.

Pembaca dewasa juga boleh membaca mengenai pengurangan penggunaan karbon dengan bantuan judul buku bukan fiksyen yang dipamerkan.

Buku masakan The Kitchen of Mindfulness yang menjadi antara buku mengangkat kempen alam sekitar dipamerkan di Pesta Buku Frankfurt. - Foto AFP

Di atas meja penuh dengan buku masakan vegan dan tanpa pembaziran, chef dijemput untuk menjadikan sisa brokoli sebagai salad, menukarkan kulit epal kepada kerepek dan menutup baki makanan dengan bungkusan lilin lebah, bukannya plastik pembalut.

Bagi mereka yang ingin lebih mendalami, pameran itu menawarkan bengkel kitar semula secara kreatif dan bagaimana mencapai pembaziran-sifar sempena Krismas - dilengkapi dengan dekorasi menggunakan akhbar dan hadiah dibalut dengan jeans lama.

Pusat Konvensyen di tengah Franfkurt yang menjadi lokasi pameran dan menampung 280,000 pencinta buku itu, sebahagian besarnya beroperasi menggunakan tenaga boleh diperbaharui.

Pada tahun hadapan, ia akan menggunakan sepenuhnya tenaga hijau, sekali gus menjimatkan 19,000 tan pelepasan karbon dioksida setahun.

Gerai yang dipasang untuk lebih 7,500 peserta pameran, kini digunakan semula tahun berikutnya.

Pengarah Pesta Buku Frankfurt, Juergen Boos memaklumkan penganjur menggalakkan usaha pengurangan sampah dan juga ‘menawarkan jerami yang boleh dimakan.’

Berita Harian X