Rabu, 30 Oktober 2019 | 10:33am
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran. - Foto Salhani Ibrahim

DBP kaji semula pemilihan Sasterawan Negara

KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sedia mengkaji semula mekanisme baharu penilaian dan pemilihan Anugerah Sastera Negara (ASN), termasuk mempertimbangkan cadangan mengumumkan senarai calon dan panel penilai yang dilantik.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shoekran, berkata pihaknya akan memperhalusi semua cadangan sesuai untuk menambah baik mutu penilaian dan pemilihan ASN bagi memelihara ketelusan, sekali gus mengelak berlaku polemik.

Beliau berkata, semua cadangan penambahbaikan akan dibawa kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik untuk dipertimbangkan sebelum mekanisme baharu dilaksanakan.

“Kaedah pencalonan ASN diguna pakai ketika ini sudah diamalkan sejak sekian lama dan sebelum ini tiada masalah kerana pencalonannya sangat terbuka dengan sesiapa pun boleh mencalonkan tokoh untuk menjadi Sasterawan Negara (SN).

“Cuma apa kita lihat, tidak ramai hendak mencalonkan tokoh memandangkan proses ini sukar kerana mereka terpaksa membuat penyelidikan termasuk menyediakan profil dan kekuatan calon.

“Keadaan ini berlaku kerana peraturan yang ada menetapkan sesiapa yang hendak dinobatkan sebagai SN perlu dicalonkan,” katanya kepada BH, baru-baru ini.

Pada 9 Oktober lalu, BH menyiarkan laporan Anugerah Sastera Perlu Reformasi yang menyarankan mekanisme ASN dibuat secara terbuka dengan memaklumkan senarai panel penilai dan calon lebih awal.

Mekanismenya juga dibuat dengan memanfaatkan media massa seperti dibuat dalam penganugerahan Hadiah Booker dan Anugerah Sastera Antarabangsa Dublin yang membabitkan dua peringkat, iaitu senarai panjang serta pendek.

ASN yang membolehkan penerimanya diangkat sebagai SN dimulakan pada 1981 hasil pandangan perdana menteri ketika itu, Tun Hussein Onn.

Penerima pertama ASN ialah wartawan dan pengarang kelahiran Pahang, Kamaluddin Muhamad atau lebih dikenali sebagai Keris Mas.

Abang Sallehuddin berkata, sehingga kini, pihaknya ada menerima cadangan supaya ASN tidak lagi perlu dicalonkan kerana segala data dan maklumat senarai tokoh dirasakan layak sudah ada dalam simpanan DBP.

“Namun, ada pihak tidak menyokong kerana bimbang wujud unsur nepotisme, termasuk kemungkinan berlaku salah laku membabitkan urus setia seperti sogokan menyediakan laporan yang seolah-olah berkehendakkan orang tertentu sebagai penerima anugerah,” katanya.

Tambah Abang Sallehuddin lagi, pihaknya juga sedang mempertimbangkan satu lagi cadangan supaya senarai calon diuar-uarkan kepada umum, kerana ia dilihat mampu menyemarakkan perbincangan mengenai calon tersenarai.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya mengamalkan mekanisme merahsiakan panel dan calon kerana bimbang apabila ia diumumkan ada antara tokoh tidak senang hati sekiranya tidak memenangi anugerah terbabit.

“Namun, pada saya kalau kita mahu memberi keutamaan terhadap isu ketelusan, wajar kita buka (umumkan senarai calon dan panel) kerana ia dapat memeriahkan perbincangan sastera tanah air dan tokoh berkenaan.

“Apabila senarai calon itu diuar-uarkan maka nanti akan ada pihak yang akan berkempen dan menulis untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata, DBP juga bercadang menarik pembabitan masyarakat dalam proses penilaian dan pemilihan ASN.

“Cadangan lain yang kita terima, termasuk meminta khalayak mengundi menerusi platform media sosial tokoh yang dirasakan layak berdasarkan senarai diumumkan dan ia mungkin membabitkan 30 peratus daripada keseluruhan penilaian.

“Kita juga boleh menggunakan pendekatan seperti diguna pakai Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) dengan meraikan pembabitan pembaca memilih dan cadangan ini juga antara yang sedang kita fikirkan,” katanya.

Abang Sallehuddin berkata, semua cadangan penambahbaikan yang dibuat bagi memastikan ASN akan dilihat lebih menarik dan menjadi perbincangan khalayak.

“Malah, kita percaya Menteri Pendidikan juga pastinya mempunyai pandangan tersendiri berhubung perkara berkenaan.

“DBP berharap perubahan yang bakal dibuat nanti akan menambah baik mutu ASN sebagai anugerah tertinggi kepada penggiat kesusasteraan kebangsaan,” katanya.

Pengumuman SN Ke-14 baru-baru ini, mencetuskan kontroversi selepas ada pihak mendakwa berlaku campur tangan politik apabila dua panel baharu didakwa dibawa masuk ke mesyuarat akhir ASN berkenaan.

Berita Harian X