Jumaat, 27 Disember 2019 | 11:13am
TINGGALAN berbentuk bangunan yang dijumpai di kota purba Kuluba. - Foto Reuters
TINGGALAN berbentuk bangunan yang dijumpai di kota purba Kuluba. - Foto Reuters

Istana besar Maya 1,000 tahun ditemui di Mexico

MEXICO CITY: Ahli arkeologi menemui istana besar yang berkemungkinan didiami golongan elit kaum Maya lebih 1,000 tahun lalu di kota purba Kuluba berhampiran lokasi pelancongan penting di Cancun.

Institut Antropologi dan Sejarah Nasional (INAH) dalam kenyataannya berkata, tinggalan berbentuk bangunan setinggi enam meter, 55 meter panjang dan 15 meter lebar, menunjukkan istana itu didiami dua kali untuk tempoh lama antara 600 hingga 1050 selepas Masihi.

Tamadun Maya mencapai kegemilangan antara tahun 250 hingga 900 apabila memerintah wilayah yang kini merangkumi selatan Mexico, Guatemala, Belize dan Honduras.

Istana itu ditemui di timur zon arkeologi Kuluba, tapak penting pra-Hispanic di wilayah Yucatan di Mexico.

AHLI arkeologi mengkaji struktur bangunan di kota purba Kuluba. - Foto Reuters
AHLI arkeologi mengkaji struktur bangunan di kota purba Kuluba. - Foto Reuters

“Cari gali ini masih pada peringkat permulaan, kami hanya mula menemui salah satu daripada struktur besar di tapak itu,” kata ahli arkeologi, Alfredo Barrera dalam video yang dikongsi INAH.

Kuluba mempunyai hubungan penting dengan kota Maya, Ek’ Balam dan lebih penting lagi, Chichen Itza, berada di bawah pengaruhnya dan menjadi sebahagian rangkaian perdagangan dan wilayahnya.

Selain istana, pakar arkeologi Mexico meneroka empat struktur lain di kawasan yang dikenali sebagai Group C di tengah dataran Kuluba termasuk altar, tinggalan dua bangunan kediaman dan struktur berbentuk bulat yang dipercayai dijadikan sebagai oven.

Pakar pemulihara juga meneroka bahagian hutan yang ditanam semula di Kuluba untuk memelihara tapak bersejarah itu daripada kemusnahan akibat angin dan matahari. - Reuters

Berita Harian X