Isnin, 27 Januari 2020 | 11:38am
Komik manga What Has Happened to Me teroka isu etnik Uighur yang menjadi mangsa kezaliman kerajaan China.
Komik manga What Has Happened to Me teroka isu etnik Uighur yang menjadi mangsa kezaliman kerajaan China.

Seniman Jepun hasil komik angkat isu Uighur

TOKYO: Seorang seniman Jepun, menggunakan komik manga untuk meningkatkan kesedaran dunia mengenai penderitaan dihadapi masyarakat Islam, terutama wanita di China.

What Has Happened to Me, yang dihasilkan Tomomi Shimizu, meneroka isu yang menerima kritikan masyarakat antarabangsa, termasuk dunia Islam dan Barat.

Setakat ini, naskhah yang sudah diterjemah ke 10 bahasa, termasuk Mandarin, Uighur dan bahasa Inggeris itu dibaca 330,000 kali dalam talian.

Shimizu menghasilkan lukisan mengenai Mihrigul Tursun, yang kini menetap di Amerika Syarikat (AS) selepas dipukul dan ditahan di China hanya kerana menjadi seorang Uighur.

“Saya menggunakan manga untuk tujuan ini kerana percaya ia mempunyai lebih banyak kuasa untuk menyampaikan pelbagai isu kepada orang awam dalam cara yang mudah difahami.

“Isu Uighur memang difahami pengkaji dan peneliti politik, tetapi tidak dalam kalangan masyarakat umum dan jurang itu sememangnya mengejutkan,” katanya kepada Reuters.

Seniman berusia 50 tahun itu bukan nama asing kepada politik terutama selepas beliau menyuarakan sokongannya terhadap isu yang turut disokong sayap kanan Jepun.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak manusia menganggarkan sehingga 2 juta manusia, kebanyakannya daripada etnik Uighur Muslim, ditahan dalam wilayah Xinjiang di barat laut China.

Usaha itu disebut Beijing sebagai sebahagian daripada kempen antikeganasannya selepas Xinjiang dikatakan mengalami ancaman daripada militan dan pihak pemisah Islam.

Beijing bagaimanapun menafikan tuduhan penganiayaan sebaliknya mendakwa ia sebahagian usaha mengakhiri ekstremisme dan kekejaman di Xinjiang melalui pendidikan.

Kementerian Luar China tidak segera memberi maklum balas mengenai isu ini bagaimanapun republik berkenaan menuduh Tursun menyebarkan pembohongan dan menafikan dakwaannya mengenai penganiayaan yang berlaku di kem berkenaan.

Shimizu yang beberapa kali menyuarakan penentangan terhadap China sebelum ini menyifatkan beliau tidak menggunakan isu Uighur untuk merosakkan reputasi China.

Penceritaan dalam manga Shimizu, dibuat berdasarkan pemerhatiannya terhadap rakaman video oleh Tursun.

Tursun tidak setakat ditahan oleh kerajaan China meskipun tidak melakukan sebarang jenayah, malah dipisahkan daripada tiga anak kembarnya berusia 45 hari.

Selepas diberi parol, Tursun mendapati satu daripada anak kembarnya meninggal dunia ketika berada dalam jagaan pihak kerajaan.

Beliau kemudian dipenjarakan semula dalam bilik yang sangat sempit - hinggakan mereka yang ditahan perlu mengambil giliran untuk berbaring.

Selepas ditahan buat kali ketiga, Tursun bertanya mengapa beliau perlu melalui pelbagai kesusahan dan seorang pegawai menjawab “Ia disebabkan anda seorang Uighur.”

Shimizu memuat naik What Has Happened to Me di laman Twitternya pada 31 Ogos lalu sebelum dihujani pelbagai mesej.

Dalam masa beberapa jam, siaran Twitter Shimizu, mendapat tweet semula 8,000 kali.

Sementara itu, Persatuan Jepun Uighur, Ilham Mahmut, berkata manga Shimizu memainkan peranan tidak ternilai dalam membolehkan masyarakat dunia mengetahui isu Uighur.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X