Jumaat, 31 Januari 2020 | 11:22am
Muhammad Nazrin pada pembentangan wacana Hang Nadim ‘Paradigma Budaya Dalam Merebut Takrif Negara Bangsa-Idaman’ di UKM, baru-baru ini. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Muhammad Nazrin pada pembentangan wacana Hang Nadim ‘Paradigma Budaya Dalam Merebut Takrif Negara Bangsa-Idaman’ di UKM, baru-baru ini. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Hang Nadim perlu jadi ikon anak muda

BANGI: Sulalatus Salatin merakamkan watak Hang Nadim, budak lelaki yang tampil dengan idea hebat hingga berjaya menghalang serangan sekumpulan besar ikan todak di Singapura, dikenang kerana keberanian dan kecerdikannya.

Bagaimanapun, beliau tidak bernasib baik apabila dibunuh hanya semata-mata disebabkan oleh sikap sesetengah masyarakat yang kurang berpuas hati dengan idea bernasnya sehingga mendapat perhatian, meskipun ia hanya membabitkan seorang kanak-kanak.

Penyelidik Institut Kajian Etnik UKM, Muhammad Nazrin Norzaidi, berkata ketika catatan sejarah itu bagai tidak mampu pudar dalam kalangan masyarakat dan masih berbekas sehingga kini.

Ia boleh dilihat dalam gelanggang akademik tempatan misalnya yang dilihat kurang berkembang atas faktor tiada tokoh orang muda yang mampu mencabar dan menjadi inspirasi untuk tampil dengan berani.

“Kisah Hang Nadim ini seharusnya dijadikan sebagai satu teladan kepada anak muda khususnya di dalam bidang pendidikan di negara ini untuk terus melontarkan idea demi memastikan sistem pendidikan terus berkembang maju,” katanya ketika ditemui pada pembentangan wacana Hang Nadim ‘Paradigma Budaya Dalam Merebut Takrif Negara Bangsa-Idaman’ di Bilik Mesyuarat Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM, dekat sini. .

Muhammad Nazrin berkata, faktor ini mungkin berlaku disebabkan oleh struktur pendidikan yang gagal menerapkan budaya dan membina semangat sastera di dalam kaedah pembelajaran pada setiap peringkat pendidikan.

“Lihat saja di negara luar misalnya United Kingdom dan Indonesia, pelajar mereka mempunyai asas dalam sastera yang ditanam di dalam jiwa mereka, hinggakan mereka tahu bagaimana untuk memperjuangkan sesuatu isu.

“Hal ini berbeza dengan pelajar kita kerana tidak diperkukuhkan dengan ilmu kesusasteraan. Malah kita dilihat sebagai bangsa yang tidak membaca, leka kepada hiburan walaupun sebenarnya ia tidak salah,” katanya.

Beliau berkata, kealpaan itu membawa anak muda ketika ini lebih mengejar kehidupan dalam budaya popular dan kebendaan.

“Jika individu menjadi kaya dan membawa modal sosial seperti tokoh, Tun Dr Daim Zainuddin dan Tun Dr Mahathir Mohamad, ini adalah contoh mereka yang memiliki kelas dan status tersendiri.

“Inilah yang kita mahu pada anak muda zaman sekarang yang mampu menjadi tokoh bagi menggantikan tokoh lama dan memperjuangkan pendidikan, membentangkan kritikan dan pandangan pada alaf baharu ini,” katanya.

Tambah Muhammad Nazrin, watak Hang Nadim seharusnya menjadi ikon kepada generasi Z pada hari ini yang mana mereka ada benda yang boleh ditawarkan kepada negara dan menjadi anak muda penuh dengan integriti.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X