Selasa, 17 March 2020 | 10:45am
Raissa Luara de Oliveira, 12, berjaya membuka perpustakaan untuk komunitinya yang kini memiliki 18,000 koleksi buku. - Foto AFP
Raissa Luara de Oliveira, 12, berjaya membuka perpustakaan untuk komunitinya yang kini memiliki 18,000 koleksi buku. - Foto AFP

Gadis cilik 'bohong sunat' buka pustaka komuniti

Wajah Lua penuh teruja ketika memegang buku mengenai Nelson Mandela yang baru diterimanya, sekali gus melengkapkan lagi ribuan koleksi perpustakaan baharunya di kawasan penduduk sesak di Tabarajas, Rio De Janeiro.

“Saya tidak hanya membaca buku, sebaliknya saya menyanjungnya,” katanya di kawasan kejiranan Tabarajas, iaitu kawasan melarat dibina di lereng bukit yang menghadap daerah mewah, Copacabana dan Botafogo.

Dalam bilik beratap zink di pusat komuniti setempat, dia memiliki koleksi 18,000 buku dan berharap dapat membantu penduduk memperoleh akses kepada pengetahuan.

Dinamakan Dunia Lua, perpustakaan itu memiliki ruang selesa dihiasi bantal dan buku disusun kemas.

Lua bermaksud bulan dalam bahasa Portugis, ialah nama panggilan kepada Raissa Luara de Oliveira.

“Pada usia 12 tahun, saya lebih banyak menyumbang kepada kawasan kejiranan saya melebihi apa yang anda lakukan sepanjang penggal pemerintahan,” katanya kepada Datuk Bandar Rio De Janeiro, Marcelo Crivella dalam video yang disiarkan dalam talian.

Ilham mewujudkan perpustakaan itu muncul enam bulan lalu apabila Lua berkunjung ke pesta buku.

“Saya melihat seorang ibu terpaksa memujuk anak perempuannya kerana tidak mampu membeli buku berharga R$3 (RM2.60).

“Saya mencabar diri sendiri untuk melakukan sesuatu,” katanya kepada AFP.

Secara curi-curi, Lua menggunakan telefon bimbit neneknya untuk membuat hantaran Facebook yang meminta sumbangan buku.

Selepas itu, dia menyamar sebagai neneknya untuk menghantar mesej kepada timbalan presiden persatuan komuniti setempat, Vania Ribeiro meminta supaya diberikan ruang untuk mewujudkan perpustakaan.

Namun, Ribeiro dapat mengagak pemanggil itu sudah tentu Lua, tetapi beliau tetap bersetuju terhadap permintaannya.

Sementara itu, nenek Lua, Fatima, mengakui memarahinya kerana melakukan hal itu di luar pengetahuannya. Neneknya kemudian, menyokong tindakannya.

Mesej video Lua menjadi tular hingga mendapat banyak permintaan untuk tampil dalam pelbagai program televisyen.

Projeknya sangat berjaya hingga menerima sekitar 1,500 buku setiap minggu - jumlah yang sangat besar untuk diisi di perpustakaan kecilnya.

Di belakang rak buku, dia menempatkan berkotak-kotak buku yang akan didermakan kepada projek seumpama itu di tempat lain di Rio De Janeiro dan kawasan miskin di timur laut Brazil.

“Seorang budak lelaki di Piaui memberitahu tindakan saya memberi inspirasi kepadanya untuk mewujudkan perpustakaan kepada kanak-kanak di kotanya.

“Saya sudah memperuntukkan 500 buku kepadanya, tetapi kami memerlukan wang untuk menghantarnya. Saya akan merakam video untuk meminta sumbangan,” katanya.

Perpustakaan itu popular dalam kalangan kanak-kanak di kawasan Lua.

“Saya suka mengunjungi perpustakaan ini. Saya datang hampir setiap hari untuk mengisi masa di luar waktu persekolahan.

“Dulu saya banyak menghabiskan masa dengan bermain bola sepak dan permainan video,” kata Daniel Couto Nascimento, 10.

Lua juga seperti kanak-kanak itu yang tidak dibiasakan dengan budaya membaca. Namun ketika berusia 9 tahun, seorang guru memperkenalkannya dengan buku Diary of a Wimpy Kid, iaitu komik pengarang Amerika, Jeff Kinney mengenai kebimbangan remaja prabaligh di sekolah.

Lua terus terpancing.

Kini, senarai buku bacaannya termasuk karya besar dan serius mengenai subjek seperti rasisme dan toleransi agama.

“Saya pernah saksikan ayah ditolak ke dinding oleh polis hanya kerana semata-mata berkulit hitam.

“Saya juga pernah dibuli secara siber oleh seorang lelaki yang menggelarkan saya sebagai ‘budak perempuan voodoo’ kerana warna rambut kononnya dicuri daripada orang Eropah,” katanya.

Namun serangan seperti itu memberikan inspirasi kepadanya untuk meneruskan usahanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X