Rabu, 1 April 2020 | 3:02pm

COVID-19: Anugerah sastera berprestij ditangguhkan

KUALA LUMPUR: Anugerah Kesusasteraan Antarabangsa Dublin 2020 yang turut menyenaraikan novel dari Malaysia, ditangguhkan berikutan ketidakpastian akibat wabak COVID-19.

Anugerah Sastera Dublin Antarabangsa dalam kenyataan berkata, penangguhan itu membabitkan semua proses penilaian dan pengumuman edisi 2020 dan 2021.

Kenyataan itu berkata, tindakan berkenaan juga selaras dengan langkah keselamatan yang diambil badan utamanya, Majlis Bandar Raya Dublin.

“Ini bermakna pengumuman senarai pendek edisi 2020 yang dijadualkan esok, juga ditangguhkan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada anda yang terus membantu dan menyokong anugerah ini.

“Kami akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut,” kata kenyataan itu di laman webnya.

11 November lalu, Anugerah Sastera Dublin Antarabangsa mengumumkan senarai panjang 157 novel termasuk Letters to God karya penulis Malaysia, Norhafsah Hamid yang dicalonkan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

Turut berada dalam senarai panjang ialah karya pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan yang diumumkan tahun lepas, Olga Tokarczuk dan Peter Handke.

Tokarczuk yang juga pemenang Hadiah Man Booker Antarabangsa 2018 dicalonkan menerusi karya, Drive Your Plow over the Bones of the Dead, manakala Handke melalui The Great Fall.

Pemenang bakal menerima €100,000 (RM536,000), iaitu hadiah tahunan paling tinggi di dunia untuk satu karya fiksyen diterbitkan dalam bahasa Inggeris.

Anugerah Kesusasteraan Antarabangsa Dublin dianjurkan Majlis Bandar Raya Dublin sejak 1994.

Berita Harian X