Isnin, 6 April 2020 | 6:41pm
Pesta buku dan pelancaran judul baharu terpaksa ditangguhkan kerana pandemik COVID-19. Gambar hiasan. Foto NSTP/Muhd Zaaba Zakeria
Pesta buku dan pelancaran judul baharu terpaksa ditangguhkan kerana pandemik COVID-19. Gambar hiasan. Foto NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

COVID-19: Apa nasib penerbit, kedai buku tanah air?

PENULARAN pandemik COVID-19 pada skala global ini menjejaskan semua bidang dan sektor, termasuk kesusasteraan serta industri buku di seluruh dunia.

Secara makro, penularan COVID-19 yang mendorong kepada langkah memperkenalkan perintah berkurung atau kawalan pergerakan itu, memberi impak besar kepada industri buku khususnya syarikat penerbitan, ejen sastera, pengedar, kontraktor dan kedai buku.

Ini secara langsung memberikan kesan kepada kakitangan setiap syarikat atau kedai buku, sekali gus membabitkan ahli keluarga mereka.

Pada masa sama, kelembapan ekonomi yang turut dihadapi industri buku itu, menjejaskan pengarang dan penterjemah, terutama yang bergantung sepenuhnya kepada penulisan.

Bagaimana pula dengan nasib penerbit, penjual dan kedai buku sama ada syarikat besar serta rangkaian gergasi atau berskala kecil dan bebas di negara ini? Apakah nasib pengarang tanah air, terutama yang menjadi penulis bebas dan sepenuh masa?

Harus diingat, industri buku sudah mengalami masalah ekonomi sehingga banyak penerbit terpaksa menutup perniagaan atau gulung tikar, manakala sebahagian lagi sukar membayar gaji kakitangan sehingga ada yang terpaksa memberhentikan pekerja.

Ketika keadaan semua segmen dalam masyarakat dan sektor ekonomi di negara ini terjejas teruk akibat COVID-19, tentu ranah penerbitan serta kesusasteraan tanah air turut menerima kesannya, tetapi nasib mereka mungkin berada dalam senarai yang ‘terlepas pandang’.

Sebenarnya, senario yang terpaksa dihadapi penerbitan dan kesusasteraan kurang dipandang kerana tidak ada sebarang laporan penilaian menyeluruh yang dibuat untuk menilai kedudukan mereka.

Ini berbeza dengan Eropah apabila Majlis Pengarang Eropah (FWC) mengeluarkan laporan COVID-19: Impact on the EU Book Sector yang menyifatkan krisis coronavirus meletakkan kebudayaan Eropah dalam bahaya.

Ia membabitkan pembatalan acara, sesi bacaan di sekolah, perpustakaan, institusi budaya dan kedai buku, majlis anugerah, pesta buku, bengkel, syarahan serta biasiswa residensi.

Apatah lagi dengan rizab yang rendah kerana pendapatan purata rendah dalam sektor buku, situasi itu mengancam ramai pengarang dan penterjemah dengan lebih cepat.

Kebanyakan pengarang, kata laporan itu, akan berdepan kejatuhan ekonomi, kehilangan bayaran dan pendedahan yang diperlukan.

FWC memberi amaran kehilangan pendapatan ekoran pembatalan semua acara itu hanya gelombang pertama yang menjejaskan pengarang.

Gelombang kedua lebih berbahaya apabila membabitkan kehilangan jualan kerana kedai buku ditutup dan pelancaran judul baharu ditangguhkan, manakala gelombang ketiga pula menyaksikan pasaran buku yang kosong.

FWC turut mengingatkan pasaran buku perlu melakukan anjakan besar-besaran selepas semakin banyak kedai buku terpaksa ditutup yang sebahagiannya mungkin tidak dapat beroperasi lagi, manakala syarikat penerbitan menangguh atau membatalkan penerbitan judul baharu.

Sektor institusi budaya seperti perpustakaan, teater dan penganjur acara berskala kecil juga perlu menangani kerugian, menutup operasi atau mengurangkan belanjawan dalam program kebudayaan.

Setiap entiti dalam rangkaian buku dan budaya yang rapuh akan terjejas teruk, tetapi yang paling terkesan ialah kebanyakan pengarang sepenuh masa serta penterjemah, syarikat penerbitan berskala kecil dan kedai buku bebas.

Justeru, kita menanti penilaian daripada pemegang taruh dalam sektor buku dan bidang kesusasteraan Malaysia seperti Perbadanan Kota Buku (PKB) dan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) serta Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

Disebabkan sikap berahsia yang diamalkan sebahagian besar penerbit terutama dalam mendedahkan jumlah jualan buku dan keuntungan penerbitan, ia pasti akan mengambil masa.

Begitu juga dalam konteks persatuan penulis yang sebelum ini lebih tertumpu kepada penganjuran acara berskala kecil atau kebajikan pengarang secara ad-hoc, tentunya memerlukan berlakunya anjakan paradigma dalam kalangan penggiat persatuan berkenaan untuk menghasilkan kajian menyeluruh.

Namun, baik penerbit mahupun persatuan, mereka perlu mengambil langkah proaktif dalam membuat penilaian terhadap impak COVID-19 yang dihadapi itu, bukan sahaja untuk mengharungi gelombang besar ini, bahkan sebagai persiapan pasca-COVID-19 nanti.

Apatah lagi kajian dan penilaian itu, boleh dikemukakan kepada kerajaan sebagai saranan yang perlu diberi perhatian ketika merangka sebarang pakej rangsangan ekonomi yang dijangka mungkin akan diumumkan lagi.

Penulis ialah Pengarang Berita BH

Berita Harian X