Khamis, 16 April 2020 | 11:21pm
Pengarang terkenal Chile, Luis Sepulveda, yang meninggal dunia akibat COVID-19 pada usia 70, hari ini.
Pengarang terkenal Chile, Luis Sepulveda, yang meninggal dunia akibat COVID-19 pada usia 70, hari ini.

COVID-19: Pengarang 'Seorang Tua Membaca Kisah Cinta' meninggal dunia

PARIS: Pengarang terkenal Chile, Luis Sepulveda, meninggal dunia hari ini, akibat COVID-19.

Sepulveda, 70, mula menunjukkan simptom COVID-19 pada 25 Februari lalu selepas pulang dari sebuah festival di Portugal.

Beliau dianggap penulis cekal yang dibuang negara oleh diktator Pinochet disebabkan kegiatan politiknya.

Novelnya paling terkenal ialah The Old Man Who Read Love Stories yang diterbitkan pada 1992.

Sepulveda berjaya menempatkan diri di persada Eropah yang menjadi ‘negara baharunya’ sejak dekad 1980-an

Karyanya diminati kerana jenaka sederhana dan gambaran kehidupan di Amerika Selatan, sekali gus diterjemah ke 50 negara dalam bentuk novel, babad dan novela hingga sastera kanak-kanak.

Gambar arkib sasterawan Chile, Luis Sepulveda yang diambil pada 30 Mac 2010. Sepulveda meninggal dunia kerana COVID-19, hari ini. - Foto AFP
Gambar arkib sasterawan Chile, Luis Sepulveda yang diambil pada 30 Mac 2010. Sepulveda meninggal dunia kerana COVID-19, hari ini. - Foto AFP

Sepulveda dilahirkan di Ovalle di utara ibu kota Santiago, pada 4 Oktober 1949.

Beliau menjadi aktivis politik sejak usia muda bermula Pemuda Komunis Chile dan kemudian Sosialis.

Sepulveda ditahan dan dipenjara atas tuduhan mengkhianati negara selama dua tahun setengah pada 1973 di bawah regim tentera Augusto Pinochet.

Beliau menghasilkan karya La Locura de Pinochet (Madness of Pinochet and Other Articles) pada 2003.

Dalam buku itu, Sepulveda menegaskan beliau menulis kerana percaya kekuatan kata sebagai senjata.

Pinochet mengamalkan kerajaan sayap kanan secara diktator yang bertahan selama 17 tahun yang menyaksikan sekurang-kurangnya 3,200 orang dibunuh atau hilang, manakala 38,000 lagi diseksa.

Selepas kumpulan Amnesty International masuk campur, Sepulveda dibebaskan dan melarikan diri dengan bersembunyi hampir setahun sebelum ditangkap serta dibuang negara pada 1977.

Beliau tidak pernah pulang ke Chile dan hanya pada 2017, Sepulveda memperoleh kerakyatan Chile kembali selepas dilucutkan beberapa dekad sebelumnya.

Selepas meninggalkan tanah airnya, beliau mengembara ke seluruh Amerika Latin dan menubuhkan kumpulan teater di Ecuador, Peru serta Colombia.

Di Nicaragua, beliau berjuang bersama-sama revolusi Sandinista yang berjaya menggulingkan kerajaan diktator ketika itu.

Pada 1978, Sepulveda menyertai program penyelidikan UNESCO terhadap etnik Orang Asli Shuar di hutan Amazon.

Etnik itu diangkat ke dalam novel sulungnya yang diterbitkan pada 1992, iaitu The Old Man Who Read Love Stories yang membawa mesej untuk menakrifkan kembali hubungan manusia dengan alam.

Diterjemah kepada 35 bahasa, novel itu mencatat kejayaan pada pentas global dan diadaptasi ke filem oleh Rolf de Heer serta dibintangi Richard Dreyfuss sebagai pelakon utama.

antara karya Sepulveda lain yang popular ialah The Story of a Seagull and the Cat Who Taught Her to Fly (1996), iaitu buku yang disifatkan ‘untuk orang muda daripada usia 8 tahun hingga 88 tahun berdasarkan tajuk kecil pada edisi asal berbahasa Sepanyol.

Dari 1982, Sepulveda menetap di Eropah, permulaannya di Hamburg, Jerman. Beliau menjadi wartawan dan berlayar selama beberapa tahun bersama kumpulan aktivis alam sekitar, Greenpeace.

Bersama isteri pertamanya yang juga penyair, Carmen Yanez, turut diseksa ketika era Pinochet, beliau menetap di Gijon, Asturias di utara Sepanyol pada 1996.

“Pengarang itu tidak berubah. Beliau masih lagi ‘dinasor’ sedikit berisi dan berhati-hati yang menyerupai mendiang Charles Bronson,” kata akhbar harian Perancis, Liberation mengenai Sepulveda pada 2017.

Sepulveda juga pernah menghasilkan drama dan mengarah filem. - AFP

Berita Harian X