Sabtu, 25 April 2020 | 8:25am
Di sebalik penutupan teater, khalayak seni terus menghidupkan persembahan seni secara dalam talian. - Gambar hiasan. - Foto AFP
Di sebalik penutupan teater, khalayak seni terus menghidupkan persembahan seni secara dalam talian. - Gambar hiasan. - Foto AFP

COVID-19 tak matikan dunia sastera, budaya

INSAN seni terus berkarya, memanfaatkan teknologi dan masa dengan membudayakan normal baharu - mengimarahkan seni dan budaya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketika PKP, insan seni yang mahu terus berkarya dan berkongsi pentas dengan penonton, mula mencari peluang dalam talian.

Secara proaktif, melalui pelantar media sosial yang bersesuaian, mereka membuka pelbagai ruang bicara seni, diskusi karya kendiri dan persembahan skala kecil, peluang berkolaborasi.

Sebagai contoh, di Facebook rasmi Malaysian Theatre Association (MaTA), pelbagai aktiviti dan bentuk seni begitu rancak berjalan.

Usah disempitkan pemikiran dengan menganggap lakonan hanya di pentas sedangkan dramatis tersohor William Shakespeare pernah mengungkap: "Dunia ini pentas lakonan dan manusia adalah pemainnya semata." Justeru, dunia jika diterjemah dalam konteks terkini turut merangkumi dunia maya.

Pada laman Facebook MaTA itu, artis atau karyawan pelbagai latar belakang berterusan menganjur sesi diskusi, sesi showcase bakat pada setiap hujung minggu dan sesi menyumbang (dan bukan sekadar mengharap sumbangan).

Begitu juga sesi memohon dana untuk projek seni, bermonolog/berpuisi/menulis, mempelajari seni persembahan baharu seperti nyanyian.

Hinggakan persembahan teater yang dipertontonkan sebelum PKP dan diarkib turut dibuka pintu seluas-luasnya untuk ditonton kembali.

Baru-baru ini, keterujaan saya sukar digambarkan apabila secara tidak sengaja saya menemukan persembahan Hamlet yang dipentaskan pada 2018 di pentas gah, The Globe, London.

Penemuan di tengah-tengah kemelut menyediakan bahan pengajaran maya untuk salah satu subjek teras program Kesusasteraan Bahasa Inggeris di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) ini umpama orang mengantuk disorongkan bantal.

Pada waktu sebelum PKP, persembahan pelakon antarabangsa yang hebat ini hanya boleh diakses dengan bayaran langganan arkib The Globe tetapi kini ia percuma.

Lantas peluang keemasan ini saya gunakan sebaiknya sebagai salah satu alat bantu mengajar sesi kuliah maya saya yang bakal bermula tidak lama lagi.

Pautan YouTube Hamlet for Free (2018) dapat saya kongsikan dengan pelajar supaya mereka lebih bersedia dalam sesi perbincangan teks kelak.

Ada juga lintasan diterima daripada penggiat seni tanah air dalam kesusasteraan Melayu. Program seperti bacaan puisi peringkat dunia anjuran Wacana Minda di laman rasmi Facebooknya juga berjalan secara maya.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) turut tidak ketinggalan melancarkan program seni dalam talian berbentuk pertandingan deklamasi puisi patriotik dan peraduan mencipta pantun bertemakan Duduk di Rumah.

Aktiviti seni berpaksi di dunia maya yang begitu giat, adalah perkembangan yang amat sihat. Di samping memberi ruang luas pengkaryaan, dunia seni tidaklah terpinggir sunyi dan menyepi.

Masyarakat seni yang membudayakan normal yang baharu ini mengimarahkan perkembangan seni dan budaya agar kedua-duanya sentiasa tersemat di ingatan.

Mungkin ada yang masih bertatih sambil terbatuk-batuk mengejar pergerakan pantas teknologi, namun tiada yang mahu mengalah.

Sememangnya utilisasi pelantar virtual yang terarah untuk memperkemaskan seni dan budaya adalah tanda aras baharu lahir dalam gelodak pandemik COVID-19 ini.

Cukuplah khalayak menghubungkaitkan insan seni sebagai golongan yang dahagakan publisiti semata. Sebaliknya bersedia untuk menerima perjuangan mereka setara barisan hadapan yang sedang tidak putus berharap agar kita jaga kita.

Penulis ialah Pensyarah Kanan (Sastera Inggeris), Jabatan Bahasa Inggeris, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X