Isnin, 27 April 2020 | 10:08am
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Pinjaman buku digital meningkat sepanjang PKP

KUALA LUMPUR: Pinjaman buku digital Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) meningkat sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Rangkaian Sistem Perpustakaan PNM, Aidatul Hasnida Abdul Rani, berkata hampir 40,000 buku digital dipinjam pada Mac, berbanding purata kira-kira 15,000 pada bulan biasa.

Aidatul Hasnida berkata, pendaftaran keahlian baharu untuk u-Pustaka dan pengunjung portal perpustakaan itu pula meningkat mendadak sepanjang PKP.

"Statistik pendaftaran keahlian dan pengunjung portal menunjukkan peningkatan semasa PKP ini.

"Sehingga 21 April ini, jumlah kumulatif ahli u-Pustaka ialah seramai 501,295.

"Semasa PKP sahaja, pendaftaran keahlian mencecah 22,982 ahli. Pendaftaran keahlian tertinggi adalah semasa permulaan PKP, iaitu mencecah 6,069 pendaftaran dalam sehari (19 Mac)," katanya kepada BERNAMA.

Aidatul Hasnida berkata, pelbagai pilihan bahan bacaan masyarakat bergantung minat dan maklumat diperlukan.

Beliau berkata, ketika PKP, pinjaman buku digital lebih kepada bahan bacaan berbentuk fiksyen.

"PNM dari semasa ke semasa sentiasa cuba memperbanyakkan bahan bacaan digital untuk diakses rakyat Malaysia.

"Antara inisiatif dilaksanakan adalah dengan menambah bilangan bahan bacaan digital setiap tahun.

"PNM melalui projek u-Pustaka sebagai hub maklumat negara berjaya mendigitalkan sebanyak 1.7 juta halaman bahan bacaan tempatan seperti manuskrip Melayu, buku nadir dan koleksi negara yang boleh diakses melalui portal u-Pustaka," katanya.

Beliau berkata, PNM berharap dapat menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk menggunakan perkhidmatan yang disediakan melalui u-Pustaka.

"Bagi mencapai hasrat ini, kami amat mengalu-alukan keterlibatan perpustakaan di Malaysia untuk turut sama menggalakkan penggunaan perkhidmatan u-Pustaka dalam kalangan masyarakat.

"Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia menyasarkan pembangunan ekonomi berstruktur semula berlandaskan ilmu bernilai tinggi di semua peringkat masyarakat.

"Melalui u-Pustaka, kami menyediakan pelbagai maklumat yang sesuai untuk semua peringkat umur dan dalam pelbagai subjek serta boleh diakses di mana-mana sahaja oleh rakyat Malaysia," katanya.

Berita Harian X