Khamis, 30 April 2020 | 9:56pm
Pelopor sastera noir di Sweden, Maj Sjowall meninggal dunia pada usia 84 di sini, semalam.
Pelopor sastera noir di Sweden, Maj Sjowall meninggal dunia pada usia 84 di sini, semalam.

Pelopor genre jenayah gelap Sweden meninggal dunia

STOCKHOLM: Pelopor sastera noir di Sweden, Maj Sjowall meninggal dunia pada usia 84 di sini, semalam.

Sjowall diiktiraf sebagai salah seorang yang menjadi pelopor genre jenayah gelap, Nordic Noir, sekali gus menjadi inspirasi kepada pengarang genre jenayah moden

Bersama-sama pasangannya, Per Wahloo yang meninggal dunia pada 1975, Sjowall menghasilkan 10 novel bersiri.

Semua novel itu bergerak berdasarkan watak muram, tua dan tidak berperwatakan seperti wira, Martin Beck dan pasukan detektif di Biro Homosid Kebangsaan di Stockholm.

Novel seperti Roseanna, The Laughing Policeman dan The Abominable Man menampilkan plot padat dengan perincian realistik dan cara kerja polis yang tidak seperti digambarkan dalam cerita biasa.

Ketua Penerbit Piratforlaget, Ann-Marie Skarp, berkata karyanya dan Wahloo mengenai Martin Beck akan menjadi klasik dan memberikan inspirasi kepada semua penulis novel jenayah yang masih hidup.

Kedua-duanya juga menghasilkan karya bersiri itu berdekad-dekad lebih awal berbanding pengarang seperti Henning Mankell dan Stieg Larsson yang mencetuskan fenomena Nordic Noir ke pentas antarabangsa.

Mereka melangkaui karya fiksyen klise, mencetuskan sesuatu yang baharu apabila menampilkan penyiasatan forensik dalam masyarakat Sweden yang disifatkan mengalami kejatuhan ketika itu.

Tema moden yang diangkat termasuk fidofilia, pembunuh bersiri, pelacuran dan bunuh diri.

"Berdasarkan sudut pandang Martin Beck dan rakan sejawatannya, mereka mencerminkan masyarakat Sweden yang ketika itu idea negara kebajikan masih belum masa dalam kehidupan seharian warganya," kata pengarang jenayah Scotland, Val McDermid yang menulis dalam pengenalan novel The Man Who Went Up In Smoke pada 2006.

Dilahirkan pada 25 September 1935 di Stockholm, Sjowall belajar kewartawanan dan grafik. Beliau pernah bekerja sebagai penterjemah, pengarah seni dan wartawan untuk akhbar serta majalah di negara ini.

Kerjayanya menemukannya dengan Wahloo, wartawan politik berjaya pada 1961.

Mereka mengambil keputusan untuk menerbitkan siri Martin Beck.

Selepas Wahloo meninggal dunia pada 1975 akibat kanser - beberapa minggu selepas buku terbaru mereka, The Terrorists diterbitkan - Sjowall kembali bekerja sebagai penterjemah.

Beliau pernah bekerjasama dengan pengarang jenayah Belanda, Tomas Ross pada 1990 untuk menerbitkan The Woman Who Resembled Greta Garbo.

Siri Martin Beck diterjemah kepada 40 bahasa dan menjadi bahan rujukan kepada puluhan filem. - AFP

Berita Harian X