Ahad, 10 Mei 2020 | 12:00pm
Penulis Kedah, Datuk Abdul Halim Salleh, 82 atau lebih dikenali sebagai Abdul Halim R
Penulis Kedah, Datuk Abdul Halim Salleh, 82 atau lebih dikenali sebagai Abdul Halim R

Gigih berkarya hingga hujung usia

ALOR SETAR: Penulis Kedah, Datuk Abdul Halim Salleh, 82 atau lebih dikenali sebagai Abdul Halim R meninggal dunia 3.20 pagi tadi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar selepas lima hari dirawat di hospital berkenaan.

Isterinya, Datin Noraini Ahmad, 54 berkata, sebelum diserang angin ahmar Selasa lalu, suaminya itu pernah memberitahu dia ingin meninggal dunia pada bulan Ramadan.

"Sebelum nafasnya terhenti, dia tidak putus berzikir sehinggalah saya sendiri mendengar dia mengucapkan kalimah syahadah di akhir nafasnya," katanya.

Noraini yang mengahwini Abdul Halim pada 2012 berkata, suaminya itu masih aktif menulis dan beliau sedang menyiapkan biografi mengenai perjalanan hidupnya yang bertajuk Di Tengah Manusia.

"Sudah dua tahun arwah menulis buku itu dengan tulisan tangan, walaupun belum siap namun itulah hasil karyanya yang terakhir.

"Dia menulis sekiranya keadaan kesihatannya mengizinkan, ini kerana arwah mengidap kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan turut melakukan rawatan dialisis," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman PKNK, di sini, hari ini.

Noriani berkata, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Bukhory selepas solat zohor hari ini.

Katanya arwah meninggalkan lima orang anak hasil perkahwinan dengan arwah isteri pertamanya, termasuk 30 cucu dan lima cicit.

Abdul Halim adalah bekas guru dan sering menghasilkan cerpen, antologi bersama, novel,sajak, pantun dan buku.

Antara tulisan beliau ialah Setaman Pantun Kenangan, Syair Kedah Darulaman, Fatomorgana dan lain-lain.

Allahyarham pernah diberi pengiktirafan sebagai Tokoh Guru Negeri Kedah pada 2014.

Berita Harian X