X
Jumaat, 22 Mei 2020 | 4:37pm

Baca Puisi Ramadan Sedunia diiktiraf Malaysia Book of Records

KUALA LUMPUR: Program Baca Puisi Ramadan Sedunia 2020 pada 30 April lalu, diiktiraf acara baca puisi dalam talian yang menampilkan paling banyak hantaran video.

Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), Datuk Dr Radzuan Ibrahim, berkata acara anjuran pihaknya itu berjaya mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR).

Radzuan berkata, program itu disiarkan secara langsung selama 24 jam melalui laman Facebook, Instagram dan YouTube, sekali gus menerima sambutan di luar dugaan.

"Sebanyak 595 video bacaan puisi dimuat naik pemuisi tempatan dan antarabangsa dalam bahasa masing-masing menggunakan hashtag yang ditetapkan PEMUISI.

"Pengiktirafan MBOR ini akan meningkatkan lagi semangat ahli PEMUISI untuk terus menganjurkan aktiviti menyemarakkan puisi dan memartabatkan dunia puisi negara," katanya dalam kenyataan kepada BERNAMA.

Program video bacaan puisi dalam talian itu berjaya menarik penyertaan daripada 12 negara, iaitu Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei, Australia, Gambia, Korea Selatan, India, Bangladesh, Jordan, Sepanyol dan Belanda.

Radzuan berkata, program itu acara anjuran keempat PEMUISI dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas.

"Sehari selepas PKP dikuatkuasakan, kami mengadakan program Baca Yassin Mohon Hapuskan COVID-19 Secara Serentak di rumah masing-masing.

"Pada 23 Mac, kami menganjurkan Sayembara Baca Puisi Dalam Talian Sempena Baca Puisi PEMUISI-UNESCO 2020, iaitu sambutan Hari Puisi Sedunia UNESCO.

"Kami juga mengadakan Program Bantuan Asnaf PEMUISI. Seramai 30 asnaf PEMUISI diberi bantuan berupa wang tunai bagi meringankan beban kehidupan terutama dalam tempoh PKP ini," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X