Sabtu, 1 Ogos 2020 | 9:37pm
Istana Budaya di Jalan Tun Razak selepas kerajaan membenarkan semula aktiviti teater, pawagam dan kolam renang untuk dibuka bermula 1 Julai lalu. - Foto NSTP
Istana Budaya di Jalan Tun Razak selepas kerajaan membenarkan semula aktiviti teater, pawagam dan kolam renang untuk dibuka bermula 1 Julai lalu. - Foto NSTP

COVID-19 bawa artis Istana Budaya 'menari' di pentas digital

KUALA LUMPUR: Diberi tanggungjawab ketika negara dilanda pandemik COVID-19 ialah cabaran terbesar perlu digalas Zaiton Md Desa sejak dilantik sebagai Ketua Pengarah Istana Budaya yang baharu, 1 Julai lalu.

Tambahan pula, dengan pengamalan norma baharu, Zaiton perlu akur dan patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa bagi setiap persembahan di Istana Budaya.

Antara SOP ialah penonton berumur 12 tahun ke bawah dan warga emas berusia lebih 60 tahun tidak dibenarkan memasuki dewan acara; proses pembasmian kuman dilakukan dua kali sehari sebelum dan selepas pementasan serta penganjur perlu mengehadkan masa pementasan kepada satu jam setengah.

"Ia memang sangat mencabar. Hakikatnya, kita sedang bergelut dengan cabaran tidak pernah dialami. Bukan hanya di negara kita, bahkan seluruh dunia turut menghadapi kemelut sama.

"Jadi, apabila membabitkan seluruh dunia, sudah tentu orang akan faham dengan tindakan kita dan masing-masing tahu akan peranan mereka," katanya kepada BERNAMA baru-baru ini.

Justeru, menyedari kekangan untuk bekerjasama dengan syarikat produksi luar, Zaiton berkata, Istana Budaya mengambil inisiatif menerbitkan sendiri program yang bakal dipentaskan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Antara program terbitan Istana Budaya ialah Konsert New Normal yang dipentaskan pada 17 dan 18 Julai lalu; Teater Muzik Orkestra Tradisional Malaysia (9 dan 10 Oktober); Lambang Sari Series (12 Ogos, 21 Oktober dan 11 November); Colours Of Malaysia (23 September dan 16 Disember) dan Teater Siti di Alam Fantasi (18 hingga 24 Disember).

"Kita juga sedang berbincang untuk meluaskan kegiatan kepada platform digital. Seperti agensi lain, Istana Budaya juga perlu mengikuti perkembangan semasa agar tidak ketinggalan.

"Bahkan, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa, artis tari kita sebenarnya terbabit dalam penggambaran untuk ditayangkan secara dalam talian yang disiarkan melalui Instagram dan Facebook," katanya.

Bukan setakat itu, anak kelahiran Kuala Kurau, Perak ini turut berazam untuk meningkatkan martabat seni kesenian tradisional yang semakin dilupakan dan menghidupkannya tidak lapuk ditelan zaman di pentas berprestij itu.

Katanya, usaha ini perlu dilakukan agar peninggalan warisan negara ini, dipertahankan dan dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang.

"Banyak kesenian tradisional seperti mek mulung dan makyung semakin dilupakan terutama generasi muda. Saya faham cabaran memang besar untuk menarik golongan muda bersama-sama kita memperjuangkan kesenian dan kebudayaan," katanya menambah warisan seni tradisional menjadi antara daya tarikan utama pelancong ke negara ini yang harus dijaga.

Berpengalaman luas dalam bidang seni dan budaya, Zaiton berjanji akan meneruskan segala usaha memartabatkan seni persembahan Istana Budaya yang dilaksanakan bekas Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani yang bersara wajib pada 9 Jun lalu.

Persembahan Ramli Sarip dan Ella pada konsert Kembara Kita di Istana Budaya. - Foto NSTP
Persembahan Ramli Sarip dan Ella pada konsert Kembara Kita di Istana Budaya. - Foto NSTP

Antara usaha Mohamed Juhari ialah membawa filem popular ke pentas persembahan teater, selain memberi peluang kepada nama besar penggiat seni mengadakan konsert solo di Istana Budaya.

"Kini, Istana Budaya sudah semakin dikenali berbanding 20 tahun dahulu," katanya mengakui pendekatan Mohamed Juhari berjaya menarik orang ramai ke Istana Budaya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X