Jumaat, 2 March 2018 | 11:40am
Persefahaman antara kaum mewujudkan suasana harmoni. - Foto hiasan
Persefahaman antara kaum mewujudkan suasana harmoni. - Foto hiasan

Model silang budaya mampu perkasa perpaduan kaum anak muda

Kerencaman masyarakat majmuk di negara kita perlu diurus dengan baik, bagi mengelak sebarang konflik perkauman yang boleh menggugat perpaduan nasional. Isu berkaitan perkauman dan keagamaan perlu ditangani dengan bijaksana, agenda memperkasa perpaduan kaum mesti dijadikan proses berterusan yang tiada titik noktahnya.

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di bawah Jabatan Perdana Menteri sebagai agensi peneraju memperkukuh perpaduan dan integrasi nasional, mesti sentiasa komited memperkasa hubungan kaum.

Program ke arah pengukuhan pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan amalan berinteraksi secara silang budaya, terutama dalam kalangan pelajar pelbagai kaum daripada peringkat rendah hingga pusat pengajian tinggi, mesti diberi perhatian agensi terbabit.

Mungkin satu model silang budaya perlu dirangka sebagai mekanisme memperkasa hubungan kaum generasi muda kita.

Melalui model itu, JPNIN boleh menganjurkan kem silang budaya dihadiri semua kaum dan dilaksana secara berterusan serta menyeluruh dengan matlamat merapatkan hubungan antara kaum.

Anak muda kita mesti didedahkan kepada realiti kehidupan sebenar, terutama dalam konteks hubungan kaum di negara ini.

Ilmu silang budaya

Pengetahuan dan kefahaman mengenai ilmu silang budaya perlu diterapkan supaya interaksi dan komunikasi antara kaum dan budaya di negara kita berjalan lancar, sekali gus mengelakkan salah faham dan konflik antara etnik.

Untuk mengatasi masalah ini, setiap kaum wajar mempelajari dan memahami asas budaya dan nilai sesuatu kaum lain.

Dari segi disiplin ilmu, komunikasi silang budaya ialah bidang kajian ilmu komunikasi yang menekankan perbandingan bentuk atau pola komunikasi antara peserta komunikasi berbeza budaya.

Ilmu berasal daripada perspektif antropologi sosial dan budaya ini memberikan kefahaman mendalam mengenai perilaku komunikasi, berdasarkan budaya tertentu dengan menunjukkan perbezaan dan persamaannya. Keperluan dan kewajaran untuk mempelajari dan memahami komunikasi silang budaya penting supaya setiap kaum menjadi semakin terbuka dari segi penerimaan dan pergaulan, sekali gus dapat menyingkirkan sikap etnosentrisme.

Jika setiap kaum dapat menyingkirkan perasaan etnosentrisme, perbezaan budaya yang wujud tidak akan menjadi halangan untuk kita melakukan interaksi antara budaya. Kita tidak akan bersifat statik dan stereotaip kerana pemahaman terhadap budaya lain menjadikan kita lebih peka untuk mencipta lingkungan komunikasi yang efektif dan membina tanpa prejudis dan diskriminasi.

Banyak kebaikan yang kita peroleh jika mempelajari komunikasi silang budaya, antaranya membantu memahami budaya sebagai sesuatu yang dapat menghasilkan dan memelihara wacana secara positif serta penuh bermakna bagi anggota masyarakat.

Ia sekali gus membentuk hubungan harmoni dan memuaskan sesama anggota masyarakat berlainan budaya, mendorong kita menjadi lebih terbuka dan bersedia melihat dan menerima nilai yang baik dan universal dalam sesuatu bangsa atau kaum itu.

Ia juga dapat menyedarkan kita mengenai keterbatasan yang ada dalam budaya sendiri.

Apabila memahami dan menghargai budaya masyarakat lain, kita menjadi lebih peka dengan anggota masyarakat berlainan budaya, sekali gus dapat merangsang pemahaman, memperluas dan memperdalam pengalaman seseorang.

Ahli sosiologi melihat kesediaan dan keupayaan kita untuk memahami budaya masyarakat lain dapat membantu kita menyedari bahawa, sistem nilai berbeza itu dapat dipelajari secara sistematik dan secara perbandingan.

Kefahaman ini akan menjadikan kita dapat menerima perbezaan budaya, sekali gus dapat membina komunikasi yang positif.

Jika komunikasi antara budaya dapat berjalan dengan lancar, ia akan menjadi jambatan dan ikatan yang dapat menyatukan kelompok masyarakat berlainan etnik dan budaya.

Hubungan etnik

Kesimpulannya, hubungan etnik akan menjadi masalah sekiranya ada individu atau kelompok etnik cenderung menolak budaya dianggap bertentangan dengan budaya dan kepercayaan mereka.

Sikap seperti ini menjadi punca wujudnya prasangka dalam kalangan anggota masyarakat berlainan etnik atau budaya. Justeru, kita mahukan masyarakat kita lebih terbuka.

Walaupun setiap etnik memiliki identiti budaya tersendiri, sikap saling menerima dan memahami akan membentuk kekuatan kepelbagaian etnik dan budaya yang wujud itu akan menjadi satu kekuatan buat negara tercinta.

Seharusnya masyarakat Malaysia bersatu dalam kepelbagaian.

Mohd Ayop Abd Razid,
Bangi, Selangor

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X