Rabu, 15 Mei 2019 | 9:44am
Tugas menyampaikan tazkirah adalah tugas seorang guru. - Foto hiasan

Siasat sekolah arah staf bukan guru beri tazkirah kepada pelajar

SEBAGAI penjaga, saya amat membantah tindakan seorang pentadbir di sebuah sekolah rendah di Jelebu, Negeri Sembilan yang mengarahkan staf bukan guru seperti kerani, pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan menyampaikan tazkirah kepada pelajar.

Saya mendapat aduan daripada anak yang belajar di sekolah berkenaan. Saya membantah kerana tugas menyampaikan tazkirah adalah tugas seorang guru.

Persoalannya, kenapa tugas itu dilakukan oleh mereka yang bukan guru? Sudah tiadakah guru yang berkelayakan di sekolah berkenaan?

Mereka yang bukan guru ini mempunyai tugas hakiki yang lebih penting. Adakah arahan ini diketahui oleh pihak Kementerian Pendidikan? Adakah ia termaktub di dalam Perlembagaan atau pekeliling yang membenarkan arahan ini dibuat?

Tiada tindakan selepas aduan

Sebelum ini, kami pernah membuat aduan bertulis kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, namun tiada apa-apa tindakan dilakukan.

Jika sudah diambil tindakan, mengapa isu ini masih lagi berlaku?

Isu ini bukan remeh. Ia membabitkan ilmu dan pengetahuan yang lebih-lebih lagi dalam soal hukum agama. Jika silap maklumat yang diberi, ia akan membuatkan fahaman pelajar terpesong.

Mohon pihak Kementerian Pendidikan segera turun padang dan mengambil tindakan serta menyiasat isu ini.

Diharapkan selepas ini tiada lagi arahan pelik dan tidak sepatutnya daripada pihak pentadbir sekolah berkenaan dan isu ini menjadi teladan kepada sekolah lain di seluruh negara.

Penjaga kecewa, Jelebu, Negeri Sembilan

Berita Harian X