Rabu, 15 Mei 2019 | 9:47am
Kadar pengangguran dalam kalangan graduan lepasan IPT dapat dikurangkan menerusi program PROTEGE. - Foto hiasan

PROTEGE mampu kurangkan kebergantungan belia

MERUJUK artikel BH bertajuk ‘PROTEGE sasar 15,000 graduan menjadi usahawan’ pada 2 Mei lalu, cadangan untuk melahirkan lebih ramai usahawan berpotensi dalam kalangan graduan dilihat antara inisiatif kerajaan yang cukup proaktif.

Program PROTEGE atau Professional Training & Education For Growing Entrepreneurs yang sebelum ini menggantikan SL1M, bukan sahaja berperanan melahirkan usahawan belia, tetapi mampu mengurangkan kebergantungan belia terhadap pasaran pekerjaan.

Secara amnya, pendidikan dan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) perlu diperkukuhkan secara menyeluruh, serta diselitkan elemen kemahiran seperti soft skills.

Kurangkan kadar pengangguran graduan

Keusahawanan dalam kalangan belia turut meraih populariti abad ini, selain membantu mengurangkan kadar pengangguran bagi graduan lepasan IPT.

Justeru, cadangan berkaitan PROTEGE ini menjadi pemangkin kepada transformasi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, yang berpaksikan inovasi dan seterusnya mencapai status negara maju menjelang 2020.

Meletakkan diri sebagai belia, antara saranan dalam memupuk minat keusahawanan dalam kalangan kelompok itu. Pembudayaan keusahawan di IPT, perlu diteruskan dan ditambah baik.

IPT memainkan peranan penting dalam membantu merangsang perubahan negara ke arah ekonomi yang berasaskan pengetahuan atau dikenali sebagai K-ekonomi.

Kerajaan sedia inisiatif

Tidak hairanlah, akan lebih ramai lagi usahawan belia berkebolehan dan berpotensi tinggi dilahirkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Namun, stigma masyarakat dalam menghakimi tindakan belia, terutama bagi mereka yang baru berjinak dalam dunia keusahawanan perlu dikikis, sebaliknya galakan secara proaktif diberikan.

Tidak hairanlah pelbagai inisiatif disediakan pihak kerajaan dalam membantu menyediakan ruang dan peluang kepada golongan belia, selain turut menyediakan peruntukan dan dasar pembangunan yang komprehensif.

Fatin Rozaini Abdul Aziz, Kuala Lumpur

Berita Harian X