Rabu, 19 Jun 2019 | 4:34pm
- Gambar hiasan

Syor tidak eksport durian Gred 1, 2

Saya ingin menarik perhatian mengenai laporan media yang menyebut China memberi ‘lampu hijau’ kepada Malaysia untuk mengeksport durian dalam bentuk sebiji penuh sejuk beku.

Melihatkan harga durian semasa yang tinggi, lebih baik jika perkara ini dikaji secara teliti demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia berikutan durian gred 1 dan gred 2 tidak cukup untuk menampung keperluan di negara ini sendiri.

Berdasarkan data, bukan semua negeri di Malaysia mempunyai durian gred 1 dan gred 2, malah ia berbuah mengikut musim dengan kekerapan setahun atau dua tahun sekali. Sekiranya cuaca baik, setiap enam bulan mengeluarkan bunga.

Bekalan tak mencukupi

Jika dilihat, bekalan durian di negara kita setakat ini tidak mencukupi untuk keperluan domestik. Pada masa ini juga, kita mengimport durian dari negara seperti Thailand dan Vietnam. Semuanya durian tidak berkualiti dan dipetik sebelum masak dan dimasukkan ubat yang sepatutnya dihalang daripada memasuki negara ini.

Saya percaya kerajaan juga dalam rancangan untuk menambah baik ekonomi di mana Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berkempen untuk menjual terus kepada pengguna, selain promosi kepada pelancong untuk datang ke Malaysia menikmati keenakan durian di negara ini.

Selepas memastikan bekalan dalam mencukupi, barulah boleh dibenarkan untuk mendapatkan permit mengeksport durian ke luar negara.

Ng Ching Sea,
Taman Skudai, Johor Bahru

1147 dibaca
Berita Harian X