Rabu, 19 Jun 2019 | 4:39pm

Peranan insurans, takaful kurangkan kos rawatan kesihatan

Kesedaran terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan rakyat Malaysia berada pada tahap membimbangkan. Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), dianggarkan 73 peratus daripada jumlah kematian di Malaysia disebabkan NCD dan peratusan ini terus meningkat setiap tahun.

NCD paling banyak dihadapi rakyat Malaysia adalah berkaitan kardiovaskular dan kanser. Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan melancarkan inisiatif Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 atau disebut sebagai PeKa B40, bertujuan menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah, dengan memberi fokus terhadap NCD.

Selain PeKa B40, beberapa inisiatif diperkenalkan kerajaan dalam mengurangkan beban rakyat bagi menghadapi kos rawatan kesihatan yang semakin meningkat.

Tuah dan musibah boleh menimpa sesiapa sahaja - berkemampuan atau tidak, tua atau muda, tidak kira waktu dan tempat.

Insurans adalah pemindahan risiko daripada seorang individu atau sebuah organisasi kepada syarikat insurans. Individu atau organisasi terbabit akan menjadi pemegang polisi.

Syarikat insurans bayar pampasan

Syarikat insurans akan menerima bayaran daripada pemegang polisi dalam bentuk premium. Sekiranya pemegang polisi kerugian atau kerosakan, syarikat insurans akan membayar pampasan kepada pemegang polisi itu.

Takaful pula mempunyai prinsip asas sama, namun ditambah baik daripada insurans bagi memenuhi keperluan produk mengikut peraturan digariskan Syariah.

Insurans dan takaful dilihat sebagai cara mengurangkan kos rawatan kesihatan masa kini. Ia memberi sokongan kewangan yang amat diperlukan ketika waktu kecemasan.

Perlindungan kewangan adalah instrumen penting dalam merancang kewangan jangka masa panjang. Perlindungan kewangan melindungi diri daripada musibah yang tidak dijangka.

Berbeza simpanan, perlindungan kewangan bertujuan mengurangkan kos perbelanjaan rawatan kesihatan. Harga premium insurans dan takaful meningkat seiring tahap usia dan kesihatan seseorang.

Premium untuk pelan kesihatan ditentukan umur, sejarah perubatan, bandar kediaman dan lain-lain daripada yang diinsuranskan. Jika premium dibeli pada usia muda, amaun dibayar lebih murah.

Selain perlindungan, terdapat juga pelan insurans dan takaful yang menggabungkan perlindungan dengan pelaburan. Premium dibayar bukan sahaja menyediakan insurans semata-mata, tetapi sebahagian daripadanya dilaburkan ke dalam dana pelaburan.

Mendapat berita sahabat ditimpa penyakit atau kemalangan amat mendukacitakan. Pasti ini menimbulkan kos perbelanjaan lain seperti kos ubat, kos rundingan doktor, peralatan perubatan, kos perjalanan ulang-alik ke hospital serta kos lain.

Atas sebab itu, masyarakat harus lebih peka terhadap kepentingan dan peranan insurans dan takaful dalam memberi sokongan kewangan yang lebih terjamin. Pada masa sama dapat membiayai kos rawatan kesihatan yang semakin meningkat hari ini.

Tiada jumlah wang yang boleh menggantikan nyawa seseorang, namun polisi insurans dan takaful boleh memberi perlindungan untuk berdepan dengan ketidaktentuan hidup.

Amir Jalal,
Pegawai Penyelidik di EMIR Research

Berita Harian X