Rabu, 26 Jun 2019 | 8:21am
Longgokan sampah plastik di tempat pengumpulan sampah. - Foto hiasan/Abdullah Yusof

Jangan biarkan Malaysia kena buli isu sampah

Isu longgokan sampah, terutama plastik dari kebanyakan negara maju yang dihantar ke Malaysia tidak dinafikan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

Bagaimanapun tahniah diucapkan kepada kerajaan kerana ketegasan menangani masalah ini dengan memaksa penghantaran semula 450 metrik tan sisa sampah dari 10 kontena ke negara asalnya.

Tempoh 14 hari diperuntukkan kerajaan seperti diumumkan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin itu sedikit sebanyak menunjukkan pendirian tegas kerajaan dalam menangani perkara ini.

Tak perlu tanggung beban

Seharusnya kita tidak perlu menanggung beban terhadap sampah dari kebanyakan negara maju seperti Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Arab Saudi, Jepun dan China itu memandangkan kita sendiri memiliki longgokan sampah yang sudah disifatkan banyak.

Lebih membanggakan ketegasan kerajaan dalam menangani hal ini menarik perhatian negara jiran apabila media negara terbabit turut memuji langkah yang disifatkan mereka sebagai cukup berani.

Sebagai rakyat negara ini juga, saya pasti ramai tidak bersetuju negara kita menjadi tempat longgokan sampah memandangkan ia lebih mengundang pelbagai risiko termasuk pencemaran alam sekitar.

Seperti ditegaskan kerajaan, biarpun negara kita kecil, tidak bermakna negara lain yang lebih maju boleh mengambil kesempatan untuk membuli kita.

Kamil Ahmad
Pelabuhan Klang

378 dibaca
Berita Harian X