Rabu, 26 Jun 2019 | 8:28am
Pembayaran menggunakan perkhidmatan e-dompet semakin diterima pengguna. - Gambar hiasan

Selamatkah wang kita dalam e-dompet?

Saya tergolong dalam Gen-Y yang baru berjinak menggunakan e-dompet.

Sabtu lalu, ketika ingin membuat pembayaran di kaunter, saya hampir dimarahi orang di sekeliling kerana mengambil masa terlalu lama untuk mencari duit syiling.

Mujur ketika itu ada anak saudara saya, cepat-cepat dia keluarkan telefon bimbit miliknya dan melakukan pembayaran. Proses yang sangat cepat, hanya beberapa saat sahaja.

Sejujurnya, saya terkejut dan kagum melihat betapa pantas pembayaran dilakukan.

Namun selepas menggunakan e-dompet beberapa hari, saya terfikir macam ada sesuatu tak kena.

Kalau saya boleh guna e-dompet dengan begitu pantas dan mudah, pasti ia juga senang digodam.

Maklum balas positif

Saya selalu terbaca berita serta iklan mengenai e-dompet dan mendengar maklum balas positif daripada kalangan orang muda yang menggunakannya.

Secara peribadi, walaupun kaedah pembayaran sangat mudah, ia pasti mengundang beribu macam bahaya.

Penyedia perkhidmatan e-dompet selalu melaungkan kaedah pembayaran mereka paling selamat, tetapi betulkah apa yang mereka uar-uarkan itu?

Adakah duit kita betul-betul selamat kalau disimpan dalam e-dompet?

Sebenarnya, saya terfikir bagaimana syarikat e-dompet menjaga keselamatan pengguna, pada masa sama menghalang transaksi tidak sah dibuat menggunakan akaun kita?

Ragui konsep e-dompet

Seribu satu soalan timbul di dalam otak, membuatkan saya mula meragui sama ada konsep e-dompet ini hanya indah khabar daripada rupa.

Jadi, saya berasakan isu ini perlu dijawab syarikat penyedia perkhidmatan e-dompet atau pihak berkuasa berkenaan.

Sebagai pengguna, kita berhak mengetahui bagaimana wang di dalam akaun e-dompet dijaga dengan selamat.

Zulkepley Rashid
Kuala Lumpur

502 dibaca
Berita Harian X