Jumaat, 28 Jun 2019 | 10:00am
Tan Sri Dr Rais Yatim. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Rais perlu hormat janji peralihan kuasa

Saya terpanggil untuk menegur (Tan Sri) Rais Yatim walaupun beliau peringkat ayah saya, kerana coretan dan kritikan beliau jauh terpesong daripada kerangka perjuangan saya dan rakan-rakan pemuda reformasi.

Mereka yang seangkatan dengan Rais mungkin malas menegur beliau kerana tahu politik Rais.

Umum maklum selepas UMNO diharamkan, beliau menyertai Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Semangat 46. Ketika itu Rais mengisytiharkan membakar jambatannya dengan UMNO.

Rais tidak pernah menyertai gerakan reformasi, perarakan BERSIH seperti kami. Sekurang kurangnya Tun Dr Mahathir Mohamad, (Tan Sri) Muhyiddin Yassin dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang lain merasai penat lelah berpanas dalam perarakan BERSIH. Dr Mahathir pernah diusir polis dan dihalang berucap di PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra).

Apa yang Rais buat? Bakar jambatan, lepas itu masuk balik UMNO. Ringkasnya Rais tidak pernah bersama perjuangan reformasi, malah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), beliau mempertahankan UMNO.

Beliau keluar UMNO selepas Barisan Nasional (BN) kalah. Beliau menyertai PH melalui BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) setelah Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. Beliau tidak tahu pun beberapa siri perbincangan dan rundingan yang berlaku dalam kalangan pemimpin PH sebelum PRU-14.

Bukanlah mudah untuk Dr Mahathir ke mahkamah berbincang dengan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan tidaklah mudah juga untuk Anwar menerima kembali Dr Mahathir mengepalai kempen PRU-14.

Kami generasi reformasi melihat kedua-dua mereka sebagai ikon politik Malaysia yang berjiwa besar. Demi menyelamatkan negara dan rakyat daripada kezaliman rejim kleptokratik, kedua-dua mereka sedia melupakan kisah lalu dan kembali berganding bahu membina Malaysia baharu.

Permuafakatan reformasi politik Malaysia baharu

Persetujuan Majlis Presiden PH mengangkat Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri (PM) ketujuh, (Datuk Seri) Wan Azizah Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan Anwar sebagai PM kelapan (PM8) adalah permuafakatan dalam kerangka reformasi politik Malaysia baharu.

Dr Mahathir bukan pun Presiden BERSATU, tetapi diangkat PH sebagai PM. Anwar masih dipenjara dan tidak ada jawatan parti, tetapi diangkat sebagai PM8. Apakah Rais, lulusan undang undang begitu naif untuk memahaminya?

Kedua-dua tokoh ini adalah ikon politik negara yang banyak jasa dan pengorbanan kepada negara, maka sebab itulah mereka diangkat oleh PH.

Jadi apakah muslihat Rais meminta Anwar jangan bergantung kepada janji Dr Mahathir?

Apakah Rais tidak terfikir dengan mempertikaikan keyakinan Anwar terhadap janji Dr Mahathir, bermakna Rais tidak yakin Dr Mahathir akan mengotakan janjinya yang diulang berkali-kali?

Anwar tidak pernah meminta tempoh waktu, malah janji dua tahun itu diberikan Dr Mahathir sendiri kepada PH dan rakyat. Apakah salah Anwar bila diasak wartawan beliau menjawab “Saya yakin dengan janji Tun (Dr Mahathir) dan berilah Tun waktu untuk memimpin”?

Ikhlas saya katakan sukar untuk mencari dalam BERSATU dan PH mereka yang melihat Rais memiliki kualiti seorang pemimpin, jauh sekali kami generasi reformasi.

Rais tentu tahu Tun Mahathir tidak boleh melantik sesiapapun menjadi TPM atau PM kerana ia memerlukan pemuafakatan PH. Rais mungkin berasa dirinya masih dalam struktur UMNO, yang mana Presiden dan Timbalan Presiden secara automatik menjadi PM dan TPM.

Pemindahan kuasa secara terhormat

Kita berpendapat tiada siapapun yang waras boleh membayangkan Dr Mahathir sanggup menghancurkan legasinya dan mencipta krisis baharu dengan memungkiri janjinya yang diketahui seluruh dunia.

Kami yakin selepas peralihan pemerintahan daripada BN kepada PH berlaku secara aman dalam semangat demokrasi, amatlah mustahil peralihan kuasa daripada Dr Mahathir kepada Anwar mencetus anarki.

Kami yakin Dr Mahathir akan menamatkan tugasnya dengan cara paling terhormat dan disanjung seluruh rakyat serta masyarakat antarabangsa. Kami akan perjuangkan supaya pemindahan kuasa berlaku secara sempurna dan terhormat.

Kami yakin pertemuan Dr Mahathir dan Anwar saban minggu adalah sebahagian proses pemindahan kuasa yang sempurna.

Anwar tentu perlukan pelbagai petua dan pedoman, manakala Dr Mahathir tentulah ada amanat dan pesanan yang perlu diberi kepada Anwar. Hanya mereka berdua yang tahu bila masanya peralihan kuasa berlaku.

Hamid Ishak

  • Untuk makluman, surat pembaca BH ini adalah maklum balas kepada kenyataan Tan Sri Rais Yatim dalam Utusan Malaysia baru-baru ini.
  • 5006 dibaca
    Berita Harian X