Sabtu, 29 Jun 2019 | 9:56am
Tindakan sindiket membawa masuk sisa plastik asing ke dalam negara bakal menjejaskan alam sekitar sakali gus memudaratkan kesihatan rakyat. - Foto hiasan

Sampah jejas kesihatan rakyat, alam sekitar

Laporan BH baru-baru ini mengenai Malaysia menjadi tempat lambakan sampah dari negara maju sememangnya mengejutkan kita sebagai warga negara.

Bayangkan 33 negara termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Australia, Sepanyol, Perancis, Jerman, Ireland dan Jepun menghantar sampah mereka ke negara ini.

AS sahaja dikatakan menghantar hampir 50 peratus daripada keseluruhan sisa plastik dihasilkan di negara terbabit, belum lagi 32 negara lain yang dikira mempunyai longgokan sampah yang banyak untuk diterima di negara kita.

Lebih membimbangkan kita sebagai penduduk adalah kilang yang menerima sisa buangan ini kebanyakan beroperasi secara haram tanpa lesen selain mereka menggunakan alatan berteknologi rendah.

Kita tidak mahu amalan prosedur pelupusan sampah yang tidak mengikut standard nanti mengundang bahaya kepada negara terutama penduduknya.

Kejadian pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor antara contoh sikap tidak bertanggungjawab sebilangan pengusaha yang membuang sisa kilang secara sewenang-wenangnya sehingga menjejaskan kesihatan penduduk setempat.

Kemampuan negara dipersoal

China yang sudah 25 tahun menjadi destinasi sisa buangan dari seluruh dunia, sudah memutuskan untuk tidak berbuat demikian kerana menyedari masalah alam sekitar yang mereka hadapi.

Sudah pastinya kesediaan negara ini menerima sampah dari seluruh dunia mengundang persoalan tentang kemampuan pihak terbabit dalam mengekalkan kesihatan alam sekitar.

Memang benar industri kitar semula plastik terutama mampu memberi pulangan lumayan kepada negara. Namun kita tidak mahu ada pihak tidak bertanggungjawab menerima sampah berkenaan, namun gagal melupuskannya dengan cara sepatutnya.

Sudah pastinya lama kelamaan, negara hanya menjadi ‘tong sampah’ kepada negara luar sebagai tempat untuk melupuskan sampah mereka.

Jika ditanya seluruh rakyat Malaysia, saya pasti ramai tidak mahu mengorbankan kesihatan alam sekitar yang dikecapi hanya semata-mata untuk memenuhi poket pihak tertentu.

Idris Shah,
Ampang

Berita Harian X