Khamis, 18 Julai 2019 | 11:40am
Tinjauan pemandu dan pengguna Grab Car di Mid Valley, Kuala Lumpur berhubung permohonan lesen khas kenderaan bagi Pengangkutan Awam (PSV) dan Permit Kenderaan E-Hailing (EVP). - Foto Azhar Ramli

Utamakan keselamatan pengguna

Akhirnya kerajaan terpaksa akur dengan permintaan pemandu e-hailing apabila mempertimbangkan tempoh tambahan tiga bulan lagi untuk mereka mendapatkan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

Walaupun berlaku kekecohan pada 12 Julai lalu, iaitu tarikh yang ditetapkan kerajaan supaya semua pemandu e-hailing di negara ini mendapatkan PSV, saya berpendapat kerajaan tidak seharusnya mengambil sikap berlembut dalam permasalahan ini.

Tempoh masa yang diberikan kepada mereka sejak tahun lalu sepatutnya sudah mencukupi untuk memastikan semua pemandu mendapatkan lesen yang ditetapkan.

Jika diperhatikan memang menjadi kebiasaan bagi masyarakat Malaysia yang suka melengahkan sesuatu sehingga ke saat akhir walaupun tempoh yang mencukupi sudah diberikan kepada mereka untuk berbuat demikian.

Akhirnya pihak kerajaan dipersalahkan kerana kegagalan untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Dalam isu mendapatkan lesen PSV bagi pemandu e-hailing, Kementerian Pengangkutan menerusi menterinya, Anthony Loke sebelum ini pernah menegaskan bahawa kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terdapat pemandu e-hailing yang tidak memiliki lesen PSV selepas tarikh yang ditetapkan.
Namun akhirnya mengubah pendirian untuk memberikan tempoh tiga bulan lagi supaya semua pemandu e-hailing mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Sebelum ini kita lihat Kementerian Kesihatan juga menghadapi masalah yang hampir sama dalam menguatkuasakan larangan merokok di kedai makan dan restoran yang turut ditangguhkan walaupun pada awalnya kerajaan menetapkan tempoh masa tertentu untuk seluruh rakyat mematuhinya.

Akibatnya dapat dilihat sekarang masih ramai perokok yang tidak mematuhi peraturan itu dengan bebas merokok di premis makanan tanpa rasa bersalah.

Dalam kes pemandu e-hailing ini, saya berpendapat kerajaan perlu lebih serius dan memastikan keselamatan pengguna perlu diberi keutamaan memandangkan semakin ramai yang memilih menggunakan perkhidmatan ini berbanding teksi.

Siti Nor
Kuala Lumpur

Berita Harian X