Khamis, 18 Julai 2019 | 11:44am
Perlu ada hubungan lebih baik antara pelbagai pihak dalam masyarakat termasuk NGO dengan penduduk Orang Asli. - Foto Saifullizan Tamadi/BH

Orang Asli perlu didekati

Membaca laporan BH hujung minggu lalu mengenai warga asing yang memperalatkan wanita Orang Asli demi kepentingan perniagaan mereka amat mengejutkan kita.

Taktik kotor warga asing yang boleh dianggap sebagai tindakan terdesak golongan berkenaan bukan saja menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat Orang Asli berkenaan, tetapi turut merugikan komuniti terbabit apabila tanah rizab mereka diceroboh dan dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab.

Cukup mudah mereka yang memasuki negara ini mengambil kesempatan demi mendapatkan pelbagai kemudahan disediakan kerajaan, yang selama ini mahu memastikan masyarakat Orang Asli tidak terabai dan mampu terus menjalani kehidupan selesa di kawasan penempatan mereka.

Sudah tiba masanya masyarakat terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan lebih berkesan, bertujuan memberi perhatian lebih kepada masyarakat Orang Asli supaya mereka tidak berterusan ditindas dan diabaikan.

Sebelum ini, isu kematian penduduk Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang juga menunjukkan bagaimana masyarakat Orang Asli di negara kita begitu ‘terasing’. Masyarakat luar hanya mengetahui wabak yang melanda mereka di peringkat yang sudah agak terlambat.

Perlu ada hubungan lebih baik antara pelbagai pihak dalam masyarakat termasuk NGO dengan penduduk Orang Asli supaya mereka tidak terus bersikap ‘menyembunyikan’ sebarang masalah yang dihadapi, sebaliknya bersedia untuk berkongsi demi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Selain isu berkaitan status hak tanah yang dikatakan menjadi masalah utama masyarakat Orang Asli di negara ini, kita tidak mahu golongan terbabit terus dipinggirkan daripada kelompok rakyat sedangkan mereka juga adalah warga negara yang sepatutnya turut menikmati kemajuan yang dicapai negara.

Menjelang 2020 yang berbaki hanya beberapa bulan lagi, masalah asas pembangunan seperti kemiskinan, keciciran dalam pendidikan, kesihatan dan kemudahan asas lain tidak sepatutnya terus membelenggu sedangkan mereka seharusnya sudah mampu untuk berdiri sama tinggi dengan penduduk kaum lain di negara ini.

Samad Ahmad
Tapah, Perak

Berita Harian X