Jumaat, 19 Julai 2019 | 12:14pm
- Gambar hiasan

Imigresen kena tegas elak rakyat jadi mangsa cinta warga asing

Saya terpanggil mengulas berita dilaporkan BH mengenai nasib gadis Orang Asli yang berkahwin dengan warga asing dan menjadi mangsa eksploitasi.

Maklumat diperoleh daripada laman web Jabatan Imigresen Malaysia, menyatakan warga asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) tertakluk kepada syarat tertentu.

Antaranya pekerja terbabit tidak dibenarkan berkahwin dengan warganegara Malaysia atau warganegara asing lain, sepanjang tempoh mereka berada di negara ini. Namun, memang ada pekerja asing yang berkahwin dengan lelaki dan wanita tempatan. Begitu juga dengan keadaan di mana pekerja asing mengahwini warga asing lain, yang sama-sama bekerja di negara ini.

Tidak dinafikan ada perkahwinan atas dasar cinta. Namun, yang dibimbangi apabila rakyat kita diperdaya warga asing yang mempunyai tujuan lain.

Sebagai contoh, memudahkan warga asing ini untuk mendapatkan lesen berniaga dan permit tertentu menggunakan nama pasangan mereka, serta bagi membolehkan warga asing ini memohon taraf penduduk tetap.

Selain itu, terdapat juga kes di mana warga asing berkenaan mempunyai pasangan hidup di negara asal mereka. Saya pernah terbaca berita di Kelantan, iaitu lelaki Pakistan mengahwini wanita tempatan untuk mendapatkan lesen berniaga.

Banyak kes wanita Malaysia hidup melarat di Indonesia selepas berkahwin dengan jejaka dari Lombok, sehingga perlu diselamatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan. Oleh yang demikian, pihak Imigresen perlu tegas menangani perkara ini, bagi memastikan rakyat kita tidak menjadi mangsa atas nama cinta.

M Faisal,
Kuala Lumpur

1599 dibaca
Berita Harian X