Jumaat, 19 Julai 2019 | 12:32pm
- Gambar hiasan

Menu berat saji pendakwah patut diubah

Sikap menghargai kehadiran pendakwah dan agamawan yang menyampaikan kuliah agama atau pengajian di masjid serta surau, sama ada oleh ahli jawatankuasa mahupun jemaah sendiri perlu dipuji.

Kebiasaannya selesai pengajian atau kuliah, sesi jamuan disediakan penganjur. Hidangan lazat dan enak seperti nasi berlauk dan pemanis mulut, disajikan kepada pendakwah jemputan.

Begitulah orang kita, atas dasar memuliakan tetamu maka perkhidmatan terbaik akan diberikan. Namun, tidak boleh dinafikan dalam beberapa situasi terkadang melebihi daripada kadar sepatutnya.

Tanpa disedari, sikap ini boleh memudaratkan mereka. Siapa menyangka perkara ini hakikatnya seolah-olah menggambarkan mereka ‘dibunuh’ dalam senyap.

Mengapa boleh berlaku demikian? Barangkali kita tidak tahu (mungkin pendakwah itu tidak ingin menceritakan hal sebenar), mengenai sebahagian mereka yang sedang dalam proses menjaga kesihatan.

Misalnya, menjaga fizikal atau mengawal rutin pemakanan kerana penyakit tertentu yang menimpa diri sebelumnya.

Apakan daya, akhirnya selepas ditolak berulang kali terpaksa dijamah juga, semata-mata menjaga hati tuan rumah dan mengelakkan pembaziran.

Paling kita khuatir, impak semua yang berlaku ini pada jangka masa panjang akan menyebabkan pendakwah tidak dapat memanfaatkan umur dengan lebih produktif, kerana faktor fizikal dan kudrat yang semakin berkurangan.

Keupayaan dan tenaga pendakwah itu sendiri berkhidmat kepada masyarakat mula terbantut akibat faktor penyakit yang berbahaya seperti masalah jantung, kencing manis dan seumpamanya, yang berisiko menjadi penyebab akibat situasi sebegini.

Oleh itu, pihak penganjur, ahli jawatankuasa masjid dan surau termasuk mana-mana pihak yang melaksanakan program sedemikian, perlu mengambil inisiatif mengimbangkan hidangan berat kepada pendakwah selepas majlis ilmu dan pengajian.

Misalnya, mereka boleh menghidangkan buah-buahan dan air putih atau air minera sahaja.

Bukan sahaja meminimumkan risiko penyakit, bahkan pendakwah akan semakin menghargai penganjur dengan cara sebegini.

Pada penganjur yang melaksanakan perkara sama, diharapkan agar diteruskan demi kebaikan pendakwah kita, khususnya dan umat Islam amnya. Pada masa sama, ia selari kehendak Islam menggalakkan gaya hidup sihat.

Khayr As-Salanjuri,
Hulu Klang, Selangor

Berita Harian X