Jumaat, 19 Julai 2019 | 12:35pm
Hak pengundi bukan sahaja membabitkan hak untuk mengundi, malah perlu membabitkan hak pengundi untuk menuntut segala janji manis dilemparkan ahli dan parti politik, khususnya ketika menghadapi sebarang proses pilihan raya. - Foto hiasan

Syor jawatankuasa khas kaji manifesto pilihan raya

Tahniah diucapkan kepada kerajaan kerana berjaya meminda Perlembagaan Persekutuan, dengan menurunkan had usia mengundi dalam negara kita daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Usaha ini harus dilihat positif semua pihak.

Di samping usaha keras diambil untuk menurunkan had usia mengundi, kerajaan juga harus mengambil langkah proaktif melindungi hak pengundi itu sendiri.

Hak pengundi bukan sahaja membabitkan hak untuk mengundi, malah perlu membabitkan hak pengundi untuk menuntut segala janji manis dilemparkan ahli dan parti politik, khususnya ketika menghadapi sebarang proses pilihan raya.

Sudah sampai masanya kita mengambil langkah baharu bagi memastikan setiap janji manis politik atau manifesto dibuat, ketika hadapi proses pilihan raya dipandang serius dan dipenuhi tanpa adanya sebarang alasan.

Amat menyedihkan sekiranya janji dibuat itu tidak dipenuhi dan ditepati, selepas mereka memenangi pilihan raya dan memegang kuasa memerintah.

Tindakan itu jelas menunjukkan sikap tidak hormat mereka terhadap pengundi, yang memberi kepercayaan dan undi kepada mereka.

Amat malang sekali untuk diketahui, status sesebuah manifesto hanyalah sekadar janji manis yang tidak terikat dengan undang-undang.

Ini bermakna ahli atau parti politik yang membuat manifesto tidak perlu menunaikan janji yang dibuat, selepas mereka menang pilihan raya dan mendapat kuasa untuk memerintah negara.

Jika kita masih ingat pada 2013 lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa sebuah manifesto pilihan raya tidak boleh dikuatkuasakan secara sah.

Berikutan keputusan penting itu, pihak mahkamah membatalkan saman sivil difailkan oleh 2,020 ibu tunggal di Selangor, berhubung pembayaran elaun RM100 kepada mereka seperti terkandung dalam manifesto pembangkang pada Pilihan Raya Umum 2008.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, membenarkan rayuan kerajaan Selangor dan Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Khalid Ibrahim, supaya mengetepikan keengganan Mahkamah Tinggi untuk membatalkan saman berkenaan.

Dalam kes terbabit, hakim bersetuju dengan hujahan bahawa manifesto bukan sebuah dokumen yang terikat di sisi undang-undang.

Seseorang yang tidak berpuas hati dengan kegagalan memenuhi janji pilihan raya, tidak boleh menuntut untuk menguatkuasakan manifesto.

Mengambil kira keadaan semasa kini, melalui pelbagai usaha pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan serta proses penambahbaikan terhadap pelbagai jenis peruntukkan undang-undang pilihan raya dalam negara, kita juga perlu melakukan proses penambahbaikkan bagi melindungi rakyat, khususnya pengundi daripada menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab sewaktu pilihan raya.

Mahkamah diminta melihat semula status undang-undang diberikan terhadap manifesto yang dibuat oleh mana-mana ahli atau parti politik. Setiap manifesto dibuat perlu diikat undang-undang.

Dengan ini, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana ahli atau parti politik, yang tidak memenuhi atau melanggari janji manifesto pilihan raya mereka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga disarankan mengambil langkah proaktif mengatasi isu ini.

Sebuah jawatankuasa khas perlu diwujudkan bagi mengkaji isu manifesto pilihan raya, untuk diberikan satu kuasa undang-undang terhadapnya.

Pindaan boleh dilakukan melalui sebarang akta sedia ada seperti Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) bagi menyelesaikan perkara ini, demi melindungi hak dan kepentingan pengundi dalam negara kita.

Dr Muzaffar Syah Mallow,
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang - Undang Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Harian X