Jumaat, 6 September 2019 | 8:25am
Longgokan sampah di pinggir laluan Jalan Gombak lama menuju Genting Sempah mencacatkan pemandangan.

Sampah cemar laluan basikal, larian

Saya mewakili penggemar ekstrem seperti aktiviti berbasikal dan larian, khususnya di lokasi antara kawasan Hospital Orang Asli Gombak ke sempadan Genting Sempah di Bentong.

Laluan ini biasanya dipenuhi pokok hijau dan kabus sejuk pada pagi hari yang sangat indah, tetapi dicemari bau sampah dari dua kawasan di tepi jalan.

Sampah ini dibuang lori yang datang pada waktu ketiadaan orang dan ini bukan perkara baharu bagi penggemar aktiviti berbasikal di laluan berkenaan.

Sampah ini dilonggokkan oleh individu tidak bertanggungjawab dan setiap minggu, ada sahaja sampah dibuang seperti kulit durian, sisa pembinaan dan sisa makanan yang menjejaskan alam sekitar.

Kawasan yang dimaksudkan juga adalah kawasan hutan, iaitu dekat dengan punca air iaitu sungai yang lokasinya tidak jauh dari situ. Kami khuatir ia akan menyebabkan pencemaran yang teruk, khususnya kepada sumber air.

Sebelum pencemaran lebih teruk terjadi dan alam sekitar ini lenyap di mamah pencemaran, kami harap isu ini dapat diberikan perhatian serius.

Aduan mengenainya sudah dilakukan kepada polis dan pihak jabatan perhutanan. Memang ada tindakan diambil dan perbuatan itu terhenti seketika, namun kembali berulang tidak lama kemudian.

Diharap masalah pencemaran ini mendapat perhatian sewajarnya.

Farzreeq Emir, Genting Sempah

307 dibaca
Berita Harian X