Jumaat, 6 September 2019 | 9:06am
Potongan RM1 sebulan bantu rawatan pesakit. - Foto hiasan

Potongan RM1 sebulan bantu rawatan pesakit

Saban hari, kita dihidang berita berkaitan dugaan dihidapi rakyat yang berdepan penyakit yang memerlukan kos penjagaan dan perubatan yang tinggi.

Pesakit dan ahli keluarga terpaksa memohon bantuan orang ramai bagi sumbangan tunai agar pembedahan dan kos perubatan dapat diselesaikan. Perkara ini bertambah teruk jika ibu bapa terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak, begitu juga pasangan pesakit.

Alangkah baik jika semua penjawat awam menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dengan membuat potongan sebanyak RM1 setiap bulan.

Saya yakin Cuepacs yang mewakili 1.7 juta penjawat awam pasti setuju dengan perkara ini. Bayangkan, setiap bulan RM1.7 juta dapat dikumpulkan dalam satu dana khas, contohnya Tabung Kami Prihatin, bagi tujuan ini.

Saya pasti wang ini dapat diurus dengan baik oleh satu unit khas. Sebagaimana telusnya jumlah wang terkumpul Tabung Harapan dihebahkan kepada umum, saya pasti Tabung Kami Prihatin ini dapat berfungsi dengan jujur.

Bagi tiap urusan berkaitan permohonan penggunaan duit daripada Tabung Kami Prihatin ini, pihak hospital boleh membantu menguruskannya mengikut prosedur ditentukan.

Elakkan meminta pesakit dan keluarga menguruskannya agar tiada kesilapan atau kelewatan.

Misalnya, anak Puan Siti memerlukan kos RM80,000 untuk membiayai pembedahan dan Puan Siti tidak mampu menyediakan wang itu. Maka, doktor yang merawat akan terus membuat pengesahan penyakit, mengisi laporan sebagai bukti keperluan permohonan kepada jawatankuasa tabung ini.

Seterusnya wang akan dibayar terus kepada hospital secara langsung daripada dana tabung itu.

Wang poket juga boleh diberi kepada keluarga pesakit. Apa sahaja asalkan dapat membantu kewangan pesakit dan keluarga pesakit.

Benar kita ada banyak agensi seperti lembaga zakat, namun tidak semua kes sebegini ditangani. Setiap hari mungkin hanya dua atau tiga berita dipaparkan, yang mendapat simpati masyarakat dan mereka beroleh bantuan. Bayangkan nasib kes yang tidak sampai ke pengetahuan umum.

Ayuh segerakan idea kecil ini supaya lebih ramai rakyat Malaysia dibantu.

Nurhanani Jamaluddin, Butterworth, Pulau Pinang.

4710 dibaca
Berita Harian X