Selasa, 1 Oktober 2019 | 10:31am
Habibie membuktikan beliau bukan sahaja berani tampil dengan program bervisi, tetapi juga merealisasikan visi di tanah air sendiri. - Foto Reuters

Kisah 'cinta' Habibie wajar jadi contoh generasi muda

DUNIA baru sahaja dikejutkan pemergian satu susuk pemimpin yang signifikan dalam pembangunan agenda reformasi di Indonesia.

Ramai maklum Allahyarham BJ Habibie selaku bekas Presiden Indonesia, tetapi tidak ramai menyorot sejarah sebelum beliau diangkat pemimpin negara.

Hanya dengan tempoh singkat 17 bulan sebagai individu nombor satu negara yang mempunyai sejarah, ekonomi dan budaya yang luas di rantau ini, Allahyarham mengajar kita satu butiran penting kehidupan, terutama kepada belia di Malaysia.

Yang pertama, kronologi kebaktian kepada negara harus dimulakan tidak kira dalam posisi apa kita berada. Ini dibuktikan Habibie, walaupun melanjutkan pengajian di luar negara, beliau masih aktif membangun ideologi dan semangat patriotik dengan menggerak Persatuan Pelajar Indonesia di Jerman.

Seterusnya budaya membaca dan menulis beliau unik dan perlu diteladani. Bayangkan sebagai seorang tokoh, walaupun dengan kesibukan sebagai seorang pemimpin negara, beliau masih mampu memperuntukkan hampir lima hingga tujuh jam sehari untuk membaca dan menulis.

Ini laskar yang wajib belia serap dan komited untuk membina rangka pemikiran tinggi dan percaya dengan daya fikir serta daya kontribusi adalah seiring.

Saya berpeluang berkunjung ke kediaman beliau pada 2015. Secara jujurnya, sebagai anak muda yang masih miskin, keinginan berasosiasi dengan buku, kunjungan ke perpustakaan Habibie membuatkan saya mahu untuk turut memiliki perpustakaan seperti beliau.

Walaupun ada pandangan pesimis menyatakan budaya membeli buku rakyat Malaysia masih belum selari dengan budaya membaca, saya fikir kita masih perlu meraikan budaya positif ini dalam keinginan belia untuk mengumpul bahan rujukan.

Dalam ruang di mana kebanyakan negara mengalami kemelut ekonomi kini, suka untuk saya kongsikan kaedah pentadbiran dibawa Habibie.

Ketika beliau menakhoda Persatuan Pelajar Indonesia di Aachen, walaupun berlaku sedikit perbezaan pendapat antara beliau dan pimpinan lain, tetap juga dihadiri program dianjurkan atas nama setiakawan dan semangat sebagai satu pasukan.

Ini tercatit dalam ‘Rudy: Kisah Masa Muda Sang Visioner’ bagaimana konflik yang berlaku ketika diusulkan idea seminar pembangunan dan tuduhan serta dakwaan bahawasanya BJ Habibie adalah seorang pengkhianat negara.

Jelas, Habibie membuktikan beliau bukan sahaja berani tampil dengan program bervisi, tetapi juga merealisasikan visi di tanah air sendiri.

Belia Malaysia perlu berani dengan semangat yang sama. Harus wujud kumpulan dominan dalam keterangkuman idea dan menyemarakkan kebebasan bersuara demi kebaikan belia dan rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Ini wajarnya digandingkan dengan tanggungjawab untuk memelihara keharmonian dan menjunjung tinggi aspirasi negara.

Pesan saya kepada pemimpin negara juga, jangan bunuh ‘Habibie Malaysia’ yang berbunyi sedikit melawan arus, tetapi hakikatnya cinta mereka kepada bangsa dan tanah air ini akan membuahkan bakti dan jasa yang sangat bernilai.

Atiqah Syairah Shaharuddin,
Penolong Setiausaha Agung
Majlis Belia Malaysia

Berita Harian X