Rabu, 2 Oktober 2019 | 9:31am
Tapak peleburan besi yang ditemui di Sungai Batu. - Foto ihsan Pembaca

Pulihara warisan, budaya tugas bersama

Warisan dan budaya tanah air adalah khazanah tidak ternilai yang mesti dilindungi dan dipelihara, supaya terus menjadi kebanggaan semua.

Ia bakal menjadi tatapan generasi seterusnya, kerana tamadun serta aspek sejarah yang lampau amat penting dalam pembentukan identiti bangsa dan negara.

Baru-baru ini kita menyaksikan bagaimana dua tokoh dunia korporat dan pencinta budaya bergerak sehala untuk memastikan warisan dapat dikekalkan dan dipelihara.

Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air diasaskan oleh Yayasan Al-Bukhary dengan kerjasama Yayasan Budi, yang masing-masing diterajui Tan Sri Syed Mokhtar Albukhari dan Tan Sri Dr Rais Yatim. Ia dilancarkan di Muzium Kesenian Islam Antarabangsa dan dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini satu langkah yang amat diperlukan kerana kita perlu mengkaji fakta sejarah secara empirikal dan dilihat dari pandangan kaca mata kita sendiri, bukannya apa yang disogok dan dikatakan penjajah atau mereka yang terdahulu.

Kajian arkeologi merungkai cara hidup tamadun terawal seperti Lembah Bujang, Sungai Batu, penemuan Perak Man, Gua Cha di Kelantan dan Gua Niah di Sarawak patut ditingkatkan.

Ini adalah sejarah kita yang memberi impak kepada keseluruhan sejarah dunia, namun tidak begitu banyak kajian yang dijalankan.

Nilai budaya bukanlah satu penghalang pemodenan. Malah, lagi tinggi budaya bangsa, bertambah majulah negara. Berpegang kepada adat resam dan kepelbagaian bangsa memberikan satu identiti kukuh yang dapat memperkasa jati diri kita sebagai rakyat Malaysia.

Yayasan Al-Bukhary memperuntukkan RM15 juta ke arah kajian dan penyelidikan oleh Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air ini. Adalah diharapkan kajian komprehensif, sistematik dan menyeluruh dapat menangani dan menyelesaikan masalah yang berlaku berkaitan warisan negara.

Dana ini tentu sekali membolehkan pihak bertanggungjawab menjalankan tugas dan peranan tanpa mempunyai rasa ada halangan untuk memelihara khazanah warisan negara. Salah satu visi piagam adalah untuk memperkasa dan membantu mempromosikan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

Sebagai ahli perniagaan yang berjaya, aspek tanggungjawab Syed Mokhtar ini terhadap warisan tidak diabaikan. Walaupun beliau terbukti ahli korporat Bumiputera paling berjaya, sikap tanggungjawab dalam memperkasa warisan bangsa perlu dicontohi.

Kisah kejayaannya jelas diiktiraf ramai dan saya yakin segala usaha dan projek beliau pada masa hadapan akan terus membawa manfaat, bukan hanya untuk organisasinya, tetapi juga untuk pihak yang bekerjasama dengannya.

Di majlis pelancaran piagam itu juga, Perdana Menteri mengingatkan kita semua bahawa Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memberi perlindungan sewajar dan sepatutnya kepada warisan negara.

Julia M,
Cheras Perdana

Berita Harian X