Jumaat, 4 Oktober 2019 | 10:45am
Gambar fail, Peguam Wan Azliana Wan Adnan dan Rusaila Abdullah, 43, (kanan) ibu kepada seorang bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) yang pernah menjadi mangsa buli bersyukur apabila Mahkamah Tinggi memerintahkan sembilan defendan termasuk lima pembuli membayar tuntutan RM616,634.20, 29 September lalu. - Foto Hanneeyzah Bariah Baharin

Hukuman tegas elak kes buli berulang

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu yang memerintahkan sembilan pihak membayar tuntutan RM616,634.20 kepada seorang pelajar yang menjadi mangsa buli empat tahun lalu, agak menarik perhatian umum.

Sembilan pihak yang diarah membayar tuntutan itu termasuklah lima bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), susulan kejadian buli yang berlaku di sekolah terbabit.

Akibat kejadian itu, mangsa yang ketika itu pelajar Tingkatan Dua mengalami trauma sehingga terpaksa bertukar sekolah. Mangsa juga kehilangan pendengaran sebelah kanan kerana gegendang telinganya pecah serta beberapa kecederaan lain.

Kita percaya keputusan dibuat mahkamah mengambil kira soal kepentingan awam. Ini kerana kes buli terbukti semakin membimbangkan mutakhir ini.

Diharap nilai wang ringgit tinggi yang perlu dibayar seperti ditetapkan mahkamah itu sekurang-kurangnya mampu membuka mata ramai mengenai bahaya perlakuan buli.

Berbalik keputusan mahkamah, saya tertarik dengan pertimbangan Hakim Zainal Azman dalam kes itu.

Hakim menyifatkan kejadian buli pada 26 April 2015 itu menampakkan kecuaian pihak sekolah dan seperti dirancang kerana ia berlaku di bilik asrama ketua pengawas. Hakim turut menegur warden dengan menyatakan jadual bertugas disusun cantik, tetapi tidak berguna jika tidak dapat menjalankan tugas dengan amanah.

Jelas sekali di sini, peranan pentadbir di sekolah baik pengetua, warden atau guru turut menentukan risiko perlakuan buli di sekolah.

Sikap memandang remeh tugas dan tanggungjawab jelas membawa impak negatif. Lebih teruk, golongan pentadbir sendiri cenderung menutup mata, sehingga menyebabkan murid ‘besar kepala’.

Mungkin hari ini murid dalam kes ini yang menjadi mangsa, siapa sangka esok lusa anak kita atau mungkin saudara kita pula yang berada pada kedudukan itu.

Kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan harus memandang serius gejala buli. Apa yang kita dengar, rata-rata mereka pada mulanya sekadar ingin berseronok, namun siapa sangka dalam berseronok mungkin terlebih sehingga bertukar kepada jenayah buli.

Kita tidak mahu ada lagi murid dibuli di sekolah. Jika ia berlaku, bukan sahaja mangsa yang menderita, pelaku juga mungkin menerima nasib sama apabila nasib ditentukan undang-undang.

Siapa sangka, daripada status pelajar cemerlang yang hanya ingin berseronok dengan membuli rakan, mungkin bertukar kepada penjenayah atau pembunuh. Jika ini berlaku, apakah jaminan masa depan yang menunggu. Bukankah ia satu kerugian juga buat negara?

Belia benci buli,

Kuala Lumpur

Berita Harian X