Jumaat, 18 Oktober 2019 | 3:02pm
PLUS adalah pengendali tol terbesar dan tertua di negara ini dan ia antara 10 syarikat lebuh raya bertol di dunia. Foto Hiasan.

PLUS aset strategik negara

BERITA mengenai cadangan pengambilalihan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) tidak terhenti, walaupun Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Datuk Shahril Ridza Ridzuan, menyatakan dana kekayaan negara itu tidak berminat melucutkan aset lebuh raya itu.

Khazanah ditubuhkan pada 1993, untuk mengambil alih fungsi Perbendaharaan di Kementerian Kewangan, menguruskan syarikat MoF Inc.

Ia ditugaskan untuk menguruskan syarikat bagi pihak kerajaan secara komersial, di luar sistem perkhidmatan awam untuk memudahkan penghasilan keputusan yang cekap.

Oleh itu, pihak pengurusannya hanya bertanggungjawab kepada lembaga pengarah dan bebas daripada kawalan menteri, walaupun MoF Inc adalah pemegang saham muktamad.

Sistem tadbir urusnya hari ini selari prinsip amalan korporat yang baik, seperti dinyatakan dalam Program Transformasi GLC Putrajaya yang dilancarkan 15 tahun lalu.

Khazanah memulakan operasi dengan mengambil alih hanya beberapa syarikat MoF. Syarikat terbesar adalah Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom. Mereka menyumbang sebahagian besar daripada permodalan pasaran di bawah Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Beberapa tahun kemudian, Khazanah memperoleh Renong /UEM Group yang terdiri daripada beberapa anak syarikat, dengan PLUS sebagai aset utamanya. Ia diperoleh untuk menyelamatkannya daripada runtuh dalam krisis kewangan Asia Timur 1997/98.

Penyelamatan oleh Khazanah membolehkan PLUS dan syarikat lain di Kumpulan UEM diletakkan dalam kawalannya.

Berikutan pemerolehan itu, Khazanah mengambil langkah penstrukturan semula UEM secara komprehensif, dengan tumpuan menjadikan PLUS sesuai untuk disenaraikan di pasaran saham tempatan.

Selepas beberapa tahun penyenaraian BSKL dan menarik dana tempatan serta asing, PLUS terpaksa dibatalkan pada akhir 2011, menyebabkan pelabur institusi cemas bahawa kerajaan tidak menghormati kenaikan tol seperti dijadualkan dalam Perjanjian Konsesi.

Mereka tahu ia berkaitan politik, menjadikan pelabur lebih bimbang mengenai masa depan PLUS.

Maka, daripada syarikat awam yang disenaraikan beratus pemegang saham, termasuk pelabur asing, PLUS menjadi syarikat dilucutkan yang dimiliki hanya dua pemegang saham - Khazanah 51 peratus dan baki 49 peratus lagi melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kedua-dua institusi pemegang saham pantas menerajui laluan untuk mengubah PLUS. Pihak Pengurusan mula menyediakan syarikat itu untuk menghadapi cabaran revolusi digital, kerana menyedari persaingan semakin tinggi dihadapi PLUS, terhadap lebuh raya lain yang muncul serta sistem pengangkutan awam.

PLUS adalah pengendali tol terbesar dan tertua di negara ini dan ia antara 10 syarikat lebuh raya bertol di dunia.

Di Asia Tenggara, PLUS dianggap pengendali paling berpengalaman dalam bisnes terbabit. Ia turut menyumbang peluang pekerjaan untuk Bumiputera dan perniagaan.

Tiada apa-apa dalam cadangan dikemukakan pembida daripada pelbagai sektor swasta yang menunjukkan mereka mempunyai idea lebih baik, untuk membangunkan PLUS berbanding apa yang sudah dilaksanakan di bawah rancangan perniagaannya.

Bercakap sebagai bekas Pengerusi Lembaga Pengarah PLUS selama 18 tahun, saya boleh katakan PLUS adalah ikon nasional yang boleh menyokong peranan Khazanah sebagai cabang pelaburan strategik kerajaan.

Sebagai pelabur strategik, Khazanah bukanlah institusi Bumiputera di Malaysia seperti definisi rasmi istilah itu.

Sebaliknya ia dana kekayaan negara yang mempunyai misi untuk mengembangkan aset strategik agar menyumbang kepada hasil kerajaan pada masa depan, mengambil kira hasil minyak dan sumber asli lain semakin kurang penting dalam ekonomi.

Dengan portfolio domestik terancang dan aset asing, Khazanah akan menjadi sumber kukuh untuk pendapatan dividen dan cukai buat kerajaan.

Ia juga dapat menyediakan sumber dalam memacu industri bernilai tinggi dan pintar untuk masa depan, serta melengkapkan peranan sektor swasta dalam memodenkan dan mengubah ekonomi.

Aliran pendapatan Khazanah ke Perbendaharaan akan semakin besar memandangkan asas asetnya juga berkembang, lantas 14 juta pelanggan KWSP akan menerima manfaat kerana mendapat dividen daripada keuntungan PLUS.

Apa sahaja keuntungan diraih PLUS akan kembali kepada kerajaan dan rakyat melalui Khazanah dan KWSP.

Kerajaan tidak seharusnya mempertimbangkan mana-mana cadangan daripada sektor swasta untuk memperoleh PLUS, kerana GLC ini adalah harta karun negara berdasarkan kecemerlangan operasinya serta peranan kritikal dalam memudahkan perkembangan Khazanah.

Seperti dijelaskan Khazanah secara terbuka, terdapat aset akan dibeli dan dijual untuk perdagangan jangka pendek dan sebab aliran tunai, malah ada aset akan disimpan untuk tujuan strategik jangka panjang.

PLUS antara aset di bawah portfolio strategiknya yang tidak boleh dilepaskan kepada sesiapa sahaja.

CEO Khazanah menjelaskan bahawa PLUS tidak akan dijual, satu kenyataan yang saya menyokong penuh sebagai bekas Ketua Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi (EPU), Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, CEO Pengasas Khazanah dan bekas Pengerusi PLUS.

Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim,

Bekas Pengerusi PLUS

Berita Harian X