Khamis, 23 April 2020 | 10:00am
Pengguna media sosial perlu beretika dan bijak memilih maklumat yang betul, elak jadi pembuli siber.- Foto hiasan/Halimaton Saadiah Sulaiman
Pengguna media sosial perlu beretika dan bijak memilih maklumat yang betul, elak jadi pembuli siber.- Foto hiasan/Halimaton Saadiah Sulaiman

Cari sumber sahih, elak mental terganggu

Sejak awal krisis COVID-19, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengutarakan kebimbangan mereka bukan sahaja terhadap pandemik virus itu, tetapi juga masalah kecelaruan maklumat atau ‘infodemik’ dan penularan khabar angin yang sukar diatasi.

Infodemik boleh merencatkan maklum balas pihak bertanggungjawab, mengganggu masyarakat daripada mendapat maklumat tepat serta melambatkan pelaksanaan mengatasi wabak.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di negara kita sejak pertengahan Mac lalu bagi mengekang penularan COVID-19 turut meningkatkan penggunaan internet dan komunikasi di media sosial.

Pelbagai kempen dan peringatan diberi agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai etika penggunaan media sosial, namun kempen sebegitu dianggap tidak penting dan tidak diendahkan sesetengah netizen.

Masing-masing berlumba untuk berkongsi maklumat dan memberikan pendapat tanpa mengambil kira status kesahihan maklumat itu. Dalam keadaan sekarang, sikap sebegini boleh memburukkan keadaan infodemik sedia ada.

Apa lebih menyedihkan, pandangan serta komen dilontarkan netizen adakalanya disulami perkataan berunsur negatif yang boleh mengguris hati dan perasaan orang lain.       

Sebahagian netizen mungkin tidak menyedari komunikasi negatif sebegini menjurus kepada pembulian siber. Paparan dan komen di media sosial yang bersifat negatif juga diibaratkan seperti virus yang boleh menjangkiti emosi orang lain. Ia memberi kesan tidak sihat bukan sahaja kepada masyarakat, tetapi diri sendiri.

Terdapat kajian menyatakan bahawa individu yang sering membaca paparan atau komen negatif di media sosial, sebenarnya boleh mewujudkan persepsi negatif dalam fikirannya tanpa disedari dan akhirnya cenderung memuat naik status atau komen yang juga berbaur negatif.

Lebih-lebih lagi apabila berhadapan situasi pandemik COVID-19 di mana masyarakat lebih berisiko menghadapi tekanan perasaan.  

Seorang ahli psikologi, Sherry Turkle, menyatakan komunikasi tidak beretika dan komen tidak sihat di media sosial terjadi kerana kita tidak melihat kesan langsung komen dan paparan itu kepada orang lain.

Kumpulan individu yang gemar melakukan perkara sedemikian seolah-olah terlupa mereka sebenarnya sedang berdiri di hadapan ribuan manusia dan melontarkan komen negatif secara terbuka terhadap orang lain di khalayak tanpa rasa malu dan segan. 

Ketika kita cuba meratakan lengkung pandemik COVID-19 dengan menurut perintah penjarakan sosial tempoh PKP, kita terus membiarkan infodemik serta virus pembulian siber meningkat dan tersebar.

Dikhuatiri, ia akan terus menjangkiti dan menjadi barah dalam masyarakat kita. Ia akan membentuk budaya yang tidak sihat dan akhirnya diterima sebagai sesuatu norma dalam masyarakat.

Sudah tentu kita tidak mahu perkara ini terjadi dalam budaya masyarakat Malaysia yang bijak serta terkenal dengan sikap lemah lembut dan bersopan santun. 

Kita seharusnya turut berusaha meratakan lengkung infodemik dan salah satu caranya dengan mengamalkan penjarakan media sosial. Ia boleh dilakukan dengan menjadi lebih selektif dan peka dalam berkomunikasi di media sosial.

Kita boleh memilih untuk berhenti mengikuti individu atau kumpulan yang gemar berkongsi maklumat tidak sahih atau sering memuat naik paparan dan komen berbaur negatif yang mungkin menyebabkan kita terganggu.

WHO juga mengeluarkan panduan penjaga kesihatan mental ketika COVID-19 yang menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan menonton, membaca atau mendengar berita menyebabkan perasaan cemas atau tertekan, selain mendapatkan maklumat hanya daripada sumber dipercayai.

Penjarakan media sosial adalah langkah berjaga-jaga dalam berkomunikasi di media sosial yang boleh membantu membendung infodemik serta menjaga kesihatan mental diri kita dan orang lain. Ia juga boleh melatih kita menjadi netizen yang lebih bertanggungjawab.

Maka, klik berkongsi dan berkomunikasilah dengan bijak. #kitajagakita #kitacarakita

Professor Madya Dr Nor Zairah
Ab Rahim,

Universiti Teknologi Malaysia.

Berita Harian X