X
Khamis, 30 April 2020 | 6:39am
Sumbangan makanan kepada golongan memerlukan menggambarkan keharmonian dan kesepaduan rakyat menghadapi wabak. - Foto hiasan
Sumbangan makanan kepada golongan memerlukan menggambarkan keharmonian dan kesepaduan rakyat menghadapi wabak. - Foto hiasan

Saat getir serlah sikap cakna rakyat

HARMONI adalah sesuatu yang semua idami. Kalimah yang memberi makna mengenai suasana damai, tenteram, indah dan menggembirakan. Sebahagian besar ruang kehidupan penduduk di Malaysia terisi dengan suasana harmoni.

Kecuali jika ada kecenderungan untuk merobek struktur kenegaraan dan sistem nilai yang diwarisi sejak berzaman, rakyat Malaysia mampu menikmati kelangsungan hidup yang harmoni.

Mereka boleh saling menerima dan memahami, bersederhana, tahu berbudi dan bersatu padu.

Dibawakan isu mengenai semangat harmoni ini untuk dikaitkan suasana dihadapi ketika ini, ekoran penularan COVID-19 dengan sikap harmoni rakyat Malaysia. Antara sudut yang dapat dilihat ialah kepatuhan rakyat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sukar mencari negara yang mencapai tahap kepatuhan sehingga 97 peratus. Sebaliknya ada negara yang rakyatnya mudah bosan dengan PKP ini, sehingga bangkit tunjuk perasaan.

Syukurlah, hampir seluruh rakyat di Malaysia memahami tujuan PKP sehingga ada yang barangkali bertanya kepada diri sendiri: "Apa untung yang kerajaan dapat dalam menguatkuasakan peraturan ini, selain untuk memastikan setiap rakyat selamat daripada jangkitan wabak?"

Susulan sikap mematuhi PKP, ternyata membawa kesan positif kepada rakyat. Angka penularan kes baharu menurun. Malah, semangat kerjasama rakyat membuatkan Malaysia dipuji dunia luar. Mereka menganggap Malaysia cekap dalam mengurus krisis penularan COVID-19.

Harmoninya rasa, apabila saban hari teralun doa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menerusi media elektronik tanah air, memohon limpah kurnia Illahi agar wabak penyakit berbahaya ini dapat dibendung dan menjauhi rakyat Malaysia.

Bertambah harmoni dengan terungkapnya kata-kata semangat sering diluahkan Perdana Menteri. Kata beliau: "Kita sesungguhnya berada dalam satu keluarga yang besar. Setiap kita mempunyai rasa kasih sayang, bertanggungjawab dan saling mendoakan keselamatan dari dijangkiti wabak ini".

Semangat dicanangkan Perdana Menteri terus menular ke dalam kehidupan masyarakat. Kemudahan peralatan teknologi komunikasi yang berada dalam tangan terus dimanfaatkan untuk berhubung, bertanya khabar dan mengambil kisah mengenai bantuan dan kebajikan.

Inisiatif kerajaan dalam menghulur bantuan tunai tentu menambahkan harmoni rakyat. Semua pihak mendapat habuan. Kalangan mereka, terutama yang tiada berpendapatan tetap amat menghargainya.

Majoriti rakyat berada di rumah. Semangat hidup berharmoni sesama keluarga bertambah erat. Jangan pula ia dicampur dengan isu ketegangan atau keganasan rumah tangga. Kes begini tetap berlaku dalam apa jua suasana. Biasanya berpunca ketiadaan iman bagi umat Islam dan umumnya apabila manusia membenarkan diri dihasut nafsu dan godaan syaitan.

Pada umumnya masyarakat berada dalam suasana harmoni. Terdapat pelbagai penciptaan kreatif dihasilkan dalam gajet. Ada lagu, puisi, lakonan atau kata-kata gurau jenaka, selain unsur agama yang ditular.

Sekurang-kurangnya boleh mengurangkan rasa bosan atau 'tertekan' sepanjang berada di rumah. Barangkali suasana harmoni sebegini jarang dilihat di negara lain.

Apa yang dialami di tempat kita, wujud semacam suatu suasana kehidupan baharu yang 'walau berjarak antara diri, namun kecaknaan sentiasa di hati'.

Turut mengharmonikan suasana ialah pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) yang melakukan apa sahaja kegiatan termasuk menghulur bantuan kepada golongan memerlukan, terutama bahan makanan.

Konsep 'susah senang sama dirasa' turut diterjemah secara meluas oleh masyarakat umum kepada petugas di barisan hadapan. Semua pihak menzahirkan tahniah, syabas dan simpati kepada petugas, baik yang terbabit secara langsung dengan hal rawatan dan perubatan, mahu pun anggota keselamatan khususnya yang mengawal PKP.

Banyak institusi menyumbang pakaian perlindungan kepada petugas barisan hadapan. Apa dilakukan adalah tanda penghargaan atas pengorbanan mereka melaksanakan tugas yang dianggap getir ini.

Harmoni dalam konteks suasana dialami ekoran pencegahan penularan COVID-19, tidak lengkap jika tidak dikaitkan dengan hadirnya seorang yang dianggap 'ikon' atau 'jaguh' dalam membawa perkhabaran semasa wabak ini.

Nama Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sentiasa di hati masyarakat, tanpa mengira bangsa dan agama. Rakyat Malaysia sesungguhnya memiliki pelbagai ciri dan unsur untuk terus kekal hidup indah dan harmoni.

Lalu ada persoalan yang boleh kita ajukan kepada kita: "Suasana apakah lagi yang kita cari?"

Datuk Sayuti Mukhtar,
Kuala Lumpur

Berita Harian X