Jumaat, 24 Ogos 2018 | 4:45pm
DOULA tidak semestinya perlu menjalani kursus, sekadar tahu tugasnya seperti memberi nasihat tertentu kepada wanita. - Foto hiasan
DOULA tidak semestinya perlu menjalani kursus, sekadar tahu tugasnya seperti memberi nasihat tertentu kepada wanita. - Foto hiasan

Doula bukan pengganti doktor, bidan

PETALING JAYA: Peranan doula sebagai peneman wanita hamil sepanjang proses melahirkan dan berpantang tidak perlu disekat selagi tidak melanggar batasan tugas doktor atau pakar perubatan.

Doula bukan berfungsi sebagai penasihat atau memberi khidmat perubatan, sebaliknya hanya membantu wanita hamil dan selepas bersalin mengharungi cabaran menjaga bayi khususnya ketika suami tiada di rumah.

Pakar Perunding Kanan dan Pakar Fetomaternal, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Jamiyah Hassan, berkata sesiapa sahaja boleh menjadi doula asalkan mereka adalah wanita.

Beliau berkata, tugas mereka ada batasannya iaitu memberi sokongan kepada wanita hamil ketika bersalin dan berpantang dari aspek mental dan fizikal serta emosi sahaja.

“Bagaimanapun, orang ramai perlu mengubah tanggapan doula adalah tugas profesional bagi menggantikan peranan doktor, jururawat atau bidan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Kementerian Kesihatan yang bercadang mewujudkan peraturan khusus bagi mengawal khidmat doula (pembantu ketika proses kelahiran) kepada wanita bersalin.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, dilaporkan berkata, langkah itu bagi memastikan keselamatan dan kesihatan ibu serta kandungan terjamin ketika proses kelahiran.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini seakan trend kelahiran di rumah termasuk tindakan pihak tertentu mempromosi dan berkongsi peranan doula di media sosial.

Dr Jamiyah berkata, pada konsepnya tiada kriteria khusus untuk menjadi doula, sebaliknya mereka akan memberi sokongan emosi, berkongsi maklumat berkaitan kehamilan atau kelahiran.

Katanya, doula tidak semestinya perlu menjalani kursus, sekadar tahu tugasnya seperti memberi nasihat tertentu.

“Contohnya, mereka seharusnya memastikan bakal ibu atau ibu makan ubat. Bagi wanita kali pertama bersalin akan melalui pelbagai pengalaman.

“Mereka mudah tertekan sekiranya tiada sesiapa di sisi seperti membantu tugas seperti memasak atau menjaga bayi.

“Malah, ketika mengandung, banyak hormon yang keluar daripada uri, bentuk badan bertukar, berat badan berubah dan emosi wanita terganggu,” katanya.

Dr Jamiyah berkata, doula tidak terikat dengan mana-mana undang-undang atau peruntukan kerana mereka bukan profesional penjagaan kesihatan tetapi boleh didakwa sekiranya melampaui batas tugas hakiki.

“Sekiranya, doula melakukan kerja sebagai profesional perubatan seperti memotong uri, bermakna sudah melanggar etika walaupun dia tahu mengenai cara melakukannya.

“Bakal ibu dan suami yang membuat keputusan untuk melahirkan bayi di rumah perlu memahami, doula tidak boleh membantu mereka jika berdepan masalah ketika melahirkan kerana salah dari segi undang-undang dan boleh dipersalahkan jika berlaku kematian atau pendarahan,” katanya.

Beliau berkata, ada beberapa negara yang memberikan kursus kepada doula termasuk menyiapkan makanan atau menjaga wanita yang mengalami kemurungan selepas bersalin tetapi ini hanya terbatas daripada segi emosi sahaja.

“Justeru, doula tidak belajar bagaimana untuk mengeluarkan bayi yang songsang tetapi hanya membantu ibu untuk mengharungi keadaan itu.

Dr Jamiyah mengingatkan wanita yang ingin bersalin di rumah perlu tahu sama ada keputusan yang diambil itu memudaratkan diri atau sebaliknya.

Walaupun wanita berkenaan kurang risiko untuk melahirkan anak di rumah, perkara ini boleh berubah dalam sekelip mata yang bukan sahaja membahayakan nyawa ibu tetapi juga bayi di dalam kandungan.

“Ibu boleh memilih bersalin secara semula jadi tetapi di dalam kemudahan yang disediakan di hospital seperti pusat bersalin risiko rendah yang dijalankan oleh pakar.

“Kalau di rumah, hanya ada suami dan doula yang tidak boleh melakukan apa-apa apabila berlaku sesuatu masalah ketika melahirkan,” katanya.

Di hospital yang membenarkan suami menemani isteri ketika proses

melahirkan atau melantik doula, ia hanya akan membenarkan kewujudan mereka untuk memberi sokongan dalam bentuk emosi sahaja.

“Oleh itu, peranan doula tidak sewajarnya disekat kerana ia boleh membantu wanita hamil berdepan cabaran tidak dijangka sepanjang proses menunggu waktu bersalin.

Berita Harian X