Khamis, 6 September 2018 | 11:00am
FOTO hiasan.
DHEEYA Diyana (kiri) ketika hadiri kelas post natal anjuran Akademi Jarimas di Jalan Gombak. - Foto Salhani Ibrahim

Mahu campak anak, akibat emosi kecamuk

KUALA LUMPUR: Akibat kemurungan yang serius dan emosi berkecamuk selepas bersalin pernah mendorong seorang ibu muda mahu mencampakkan anaknya dari bangunan tinggi.

Dheeya Diyana Hamdan, 26, yang menghadapi masalah Post-partum Psychosis Depression atau dikenali sebagai meroyan dalam kalangan orang Melayu juga pernah menelan lapan biji pil tahan sakit selepas suami enggan menceraikannya.

Malah, lebih parah beliau kerap hilang tumpuan, berhalusinasi dan bersedih sehingga ingin membunuh diri dan mencederakan dua anak yang masih kecil.

“Ketika anak berusia setahun lima bulan saya pernah terfikir mahu mencederakannya. Saya rasa ingin mencampakkan anak dari tingkat atas bangunan.

“Emosi kecamuk, jadi apabila mendokong anak saya peluk erat supaya dapat mengawal emosi tidak melakukan perkara buruk,” katanya ketika ditemui pada program kelas post natal anjuran Akademi Jarimas, di sini, baru-baru ini.

Beliau menceritakan demikian ketika berkongsi pengalaman berhadapan masalah kemurungan dan meroyan.

Dheeya Diyana berkata, kemurungan menjejaskan kualiti hidup, gagal menguruskan rumah tangga dan sering mahu mencederakan anaknya.

Beliau juga mudah ‘naik angin’ tanpa sebab setiap kali pulang kerja walaupun suaminya membantu menguruskan keluarga seperti memasak dan mengemas.

“Emosi tidak stabil mengakibatkan kami bergaduh setiap hari sehingga dia hilang sabar,” katanya.

Beliau berkata, sikapnya tidak menentu juga sering curiga dengan keikhlasan keluarga untuk membantu dirinya.

“Ketika itu, saya tidak percayakan sesiapa dan sering anggap keluarga dan suami bencikan saya. Sedangkan, mereka sudah berusaha membantu.

“Masalah meroyan tidak nampak pada mata kasar, hanya individu yang mengalaminya bergelut dengan emosi, Orang lain yang tidak mengalaminya tidak dapat membayangkan serangan gangguan itu,” katanya.

Katanya, kesan kemurungan serius selepas melahirkan tidak perlu dipandang sepi memandangkan keadaan itu boleh menjejaskan keharmonian keluarga.

Justeru, selepas melahirkan anak kedua, beliau mengambil keputusan melengkapkan diri dengan kursus kemahiran penjagaan wanita selepas berpantang, sejak awal tahun ini.

“Kemahiran itu membolehkan saya mengenali tanda meroyan dan mengambil inisiatif mengatasi masalah berkenaan dengan sebaiknya.

“Walaupun berat mengakuinya, tetapi demi kedua-dua anak dan suami saya dapatkan rawatan pemulihan daripada bidan profesional dan syukur kini mampu menjalani kehidupan normal,” katanya.

Katanya, pembahagian tugas ketika berpantang penting bagi mengelak wanita berpantang mengalami keletihan dan hilang fokus.

“Ketika melahirkan anak sulung saya tidak mempunyai pengalaman penjagaan selepas berpantang. Keadaan saya lemah, terpaksa menjaga bayi sendirian secara memberi tekanan,” katanya.

Menariknya menerusi kursus itu, membuka minat dan ruang Dheeya Diyana menjadi pelatih bagi menambah kemahiran penjagaan wanita hamil hingga berpantang.

Beliau mengikuti latihan mengurut, pengambilan makanan seimbang dan penjagaan kebersihan.

“Selain itu, di sini kita juga diajar bagaimana menyediakan khidmat mengurus wanita dalam pantang, termasuk bertangas sebagai terapi luaran dan dalaman badan,” katanya.

54 dibaca
Berita Harian X