Khamis, 6 September 2018 | 12:46pm
DR Jamiyah memeriksa kesihatan penduduk pada Program Baktisiswa UM 2018 di Kampung Marak Parak, Kota Marudu, baru-baru ini.
DR Jamiyah memeriksa kesihatan penduduk pada Program Baktisiswa UM 2018 di Kampung Marak Parak, Kota Marudu, baru-baru ini.
PELAJAR perubatan memeriksa kesihatan penduduk pada Program Baktisiswa UM 2018 di Kampung Marak Parak, Kota Marudu, baru-baru ini.
PELAJAR perubatan memeriksa kesihatan penduduk pada Program Baktisiswa UM 2018 di Kampung Marak Parak, Kota Marudu, baru-baru ini.

Wanita perlu dilengkapi pengetahuan penjagaan kesihatan

KOTA MARUDU: Pengetahuan mengenai pentingnya kesihatan perlu disampaikan secara menyeluruh bagi membolehkan semua lapisan masyarakat, terutama wanita mendapat kefahaman mengenai pentingnya amalan gaya hidup sihat.

Menyedari pentingnya menyampaikan maklumat berkenaan, Pakar Perunding Kanan dan Pakar Fetomaternal, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Jamiyah Hassan, mengambil inisiatif menyebarkan maklumat berkenaan ke kawasan pedalaman.

Beliau bersama-sama Persatuan Perubatan Universiti Malaya (UM) dan Fakulti Perubatan UM, mengambil menganjurkan program bersama penduduk di Kampung Marak Parak, di sini baru-baru ini.

Mengetuai Program Baktisiswa UM 2018, Dr Jamiyah berkata, kedudukan kira-kira 45 kilometer (km) dari Kota Marudu, Sabah menyebabkan penduduknya ketinggalan dalam mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaik.

“Kampung dihuni lebih 30 peratus penduduk dalam kalangan warga emas berusia lebih 60 tahun, mengalami risiko penyakit antaranya tekanan darah tinggi.

“Kanak-kanak pula kelihatan kurus disebabkan tidak mendapat khasiat pemakanan mencukupi. Mereka tidak makan ubat kerana kehabisan bekalan dan terpaksa menunggu sehingga ada duit untuk ke hospital di bandar,” katanya.

Beliau berkata, pengisian program kendalian pelajar perubatan tahun dua itu antaranya pemeriksaan saringan tekanan darah, kandungan gula dalam darah dan berat badan.

Katanya, aktiviti bercorak interaktif, iaitu ceramah kesihatan, program menjaga kesihatan di sekolah dan ceramah motivasi kepada murid Tahun Enam.

“Tahun ini kami tiada dana mencukupi untuk bekalan imunisasi vaksin HPV vaksin bagi melindungi kanser pangkal rahim, kanser lubang dubur dan penyakit penyakit lain disebabkan virus HPV seperti yang pernah dijalankan sebelum ini,” katanya.

Berita Harian X