Selasa, 18 September 2018 | 10:25am
Ketua Penyelidik Projek Rose, Prof Dr Woo Yin Ling di Pusat Perubatan Universiti Malaya bersama Projek ROSE. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

ROSE atasi malu buat pap smear

KUALA LUMPUR: Takut, tiada masa dan malu kerana membabitkan organ intim menjadikan sebilangan wanita tidak sanggup menjalani pemeriksaan pap smear meskipun tahu kepentingan untuk pencegahan awal mengelak berdepan risiko kanser.

Kegusaran itu tidak seharusnya menjadi igauan ngeri kerana ada penyelesaian mudah menerusi kaedah pengujian alternatif secara calitan menggunakan kit khas, diperkenalkan, dikenali Removing Obstacles to Servical Screening (ROSE).

Projek perintis percuma yang perkenalkan sejak tiga bulan lalu itu adalah pendekatan kepada golongan wanita menjalani saringan untuk kanser servik.

Perunding Ginekologi Onkologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Woo Yin Ling dengan dibantu sekumpulan lapan penyelidik lain, sejak dicetuskan mereka.

Dr Yin Ling, berkata kanser servik boleh diubati dan bukannya pengakhiran atau kematian.

Katanya, kaedah persampelan diri saringan kanser itu tidak menyakitkan, malah boleh dilakukan di empat lokasi yang menjadi projek perintisnya.

“Sehingga ini, kira-kira 2,000 wanita sudah melakukan persampelan sendiri dengan keputusan setiap ujian terbabit boleh diperoleh dalam masa tiga hari menerusi khidmat pesanan ringkas yang dihantar kepada mereka.

“Saringan ini disyorkan pada wanita yang berada dalam lingkungan usia 30 hingga 65 tahun, aktif dalam aktiviti seksual, mempunyai ramai pasangan, berikutan 99 peratus kanser serviks berkait rapat dengan jangkitan virus human papilloma (HPV),” katanya.

Beliau berkata, setiap wanita berkahwin berisiko dijangkiti HPV yang menjadi penyebab utama kanser pembunuh itu.

“Luangkan masa buat persampelan sendiri yang tidak serumit pap smear kerana jika lambat dikesan, ia boleh mengancam nyawa,” katanya.


Ketua Penyelidik Projek Rose, Prof Dr Woo Yin Ling (kiri) berbincang mengenai hasil kajian di Pusat Perubatan Universiti Malaya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Kini lebih 200 virus jenis HPV yang boleh dikenal pasti.

HPV menjangkiti permukaan kulit (epithelium) seperti timbulnya ketuat pada jari tangan dan kaki tanpa membabitkan sistem pengaliran darah, dengan 80 peratus daripadanya berupaya sembuh sendiri.

Kebanyakan jenis HPV tidak membahayakan, beberapa jenis HPV yang diketahui boleh menyebabkan kanser tertentu seperti kanser serviks, anus dan orofarinks.

Kanser serviks adalah kanser keempat yang paling kerap dihidapi wanita di peringkat global yang menyebabkan kira-kira 270,000 kematian pesakit wanita di seluruh dunia.

Di Malaysia, kanser serviks, adalah penyakit ketiga yang paling kerap dihidapi wanita dan kira-kira 2,000 kes dilaporkan setiap tahun.

Projek ROSE dijalankan dengan kerjasama pelbagai institusi termasuk Kementerian Kesihatan diketuai PPUM bertujuan mengajak wanita mengambil langkah pertama melindungi diri daripada kanser serviks dengan menjalani ujian pemeriksaan serviks untuk mengelak HPV.

Wanita boleh melakukan persampelan sendiri iaitu dengan menggunakan kit ujian berbentuk putik kapas dan bekas silinder khas disediakan tetapi keputusannya boleh diproses dengan segera.

Kit itu tidak memerlukan peralatan klinikal khusus seperti pap smear, tetapi penguji boleh melakukan sendiri bagi mengambil sampel di vagina.

“Sampel kemudian dibungkus dengan selamat sebelum dihantar ke makmal untuk ujian selanjutnya. Kaedah penghantaran sama ada menghantar sendiri, menggunakan perkhidmatan e-hailing atau pekerja penghantaran.

“Kami bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk menghantar keputusan ujian melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). Kaedah ini memudahkan wanita dan tidak perlu datang ke makmal mengambil keputusan ujian, selain mengelak kemungkinan dokumen keputusan tercicir,” katanya.

Kaedah diadaptasi kit pemeriksaan serviks dari Australia mendapat kelulusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan disyorkan wanita yang tidak selesa dan takut melakukan pemeriksaan itu.

“Malah, kit ujian ini dijangka dapat mengatasi masalah masa pengamal perubatan yang terhad, ketiadaan ruang dan kekurangan kemudahan melakukan pemeriksaan serviks.

“Kaedah ini diharapkan dapat mengurangkan kekerapan pemeriksaan serviks kepada lima tahun sekali. Ketika ini, pemeriksaan lumuran pap dilakukan setiap tiga tahun atau anggaran 15 kali daripada usia 21 hingga 65 tahun.

Setakat ini, projek ROSE dilaksanakan di lima klinik kesihatan di Daerah Petaling sebelum diluaskan ke seluruh negara.

Sebagai persediaan, kakitangan kesihatan diberikan pendedahan dan latihan bagi mengendali kaedah ini termasuk memberi penerangan mengenai protokol ujian sendiri serviks.

Berita Harian X