Sabtu, 15 Julai 2017 | 11:35pm

FELDA United belasah T-Team


PEMAIN Felda United, Thiago Augusto Fernandes (tiga dari kanan) diasak pemain T-Team dalam saingan Liga Super 2017 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka. - Foto Muhammad Asyraf Sawal

MARAN: FELDA United meneruskan kecemerlangan apabila membelasah T-Team 5-1 pada perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, di sini, sebentar tadi.

Penyerang import sensasinya, Thiago Augusto sekali lagi mempamerkan bisa apabila mencatatkan jaringan hatrik kedua peribadi dalam tempoh lima hari.

Sebelum ini, dia turut menjaringkan tiga gol dalam perlawanan Liga Super menentang Sarawak pada 11 Julai lalu.

Bagaimanapun kemenangan pasukan jolokan The Fighters itu tidak melalui jalan mudah apabila dipaksa berusaha keras oleh pelawat yang menampilkan aksi teratur sebaik wisel ditiup.

Malah, pasukan kendalian Rachmat Darmawan hampir mengejutkan FELDA apabila sepakan dari luar kotak penalti penyerang importnya, Joseph Yannick Ndjeng singgah di palang taktala penjaga gol Mohd Farizal Harun sudah tertewas.

Bagaimanapun, sedikit demi sedikit anak didik B Sathianathan berjaya menyerap asakan T-Team dan akhirnya membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma cantik Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-23.

Berita Harian X