Jumaat, 21 Julai 2017 | 11:29pm
PEMAIN Negeri Sembilan, Jonathan Henri Behe bersaing dengan pemain Kuantan FA, muhamad Amer Syafeeq Aziz (dua dari kanan) pada perlawanan Liga Premier 2017 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. - Foto Hazreen Mohamad

NS temui semula rentak kemenangan

[email protected]

SEREMBAN: Negeri Sembilan menemui semula rentak kemenangan apabila berjaya membenam Kuantan FA 3-0 dalam saingan Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad Hobin Jang Hobin mengumpul 36 mata untuk berada di tangga kedua, susulan kekalahan Kuala Lumpur 1-2 kepada Terengganu dalam pertembungan dua pasukan teratas di Selayang.

Turun dengan misi meraih tiga mata, Negeri Sembilan memulakan gerakan memburu gol sebaik permainan dimulakan apabila Lee Andrew Tuck mula menguji benteng pelawat pada minit keempat, namun sepakannya dari jarak 25 meter tersasar.

Pemain skuad Hobin Jang Hobin dilihat tidak berputus asa apabila terus merencanakan gerakan ke kawasan benteng The Seagulls dengan melakukan percubaan demi percubaan.

Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila diberikan sepakan penalti selepas seorang pertahanan Kuantan FA tersentuh bola dalam kotak penalti pada minit ke-16.

Lee Tuck yang mengambil sepakan itu tidak berdepan masalah apabila tenang merembat kemas menewaskan penjaga gol Kuantan FA, Khairul Nizam Mohd Noor.

Jaringan itu menyuntik semangat anak buah Mohd Asri Ninggal apabila terus melakukan asakan walaupun sesekali Kuantan FA melakukan serangan balas, namun gerakan dicetuskan Abdul Malik Mat Arif bersama Ljubo Baranin gagal menembusi benteng tuan rumah.

Sebaliknya, Jonathan Behe yang menggalas tugas selaku penggempur utama hampir dapat menambah gol buat tuan rumah, tetapi sepakan derasnya dari sebelah tepi pada minit ke-22, melepasi palang.

Penyerang berasal dari Perancis itu bagaimanapun menebus kekecewaan itu apabila bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum menyudahkan bola hantaran Lee Tuck dari bahagian bawah pada minit ke-39.

Behe terus menunjukkan bisanya apabila mengukuhkan kedudukan Negeri Sembilan dengan menyumbat gol ketiga pada minit ke-72.

Berita Harian X