Sabtu, 22 Julai 2017 | 11:32pm
PEMAIN T-Team kecewa selepas pemain Johor Darul Takzim (JDT) S. Kunanlan (tiga, kiri) berjaya menjaringkan gol ketiga dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - Foto BERNAMA

Liga Super: JDT berpesta gol belasah T-Team

KUALA TERENGGANU: Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak berdepan masalah apabila mudah meratah T-Team 6-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, malam ini.

Ketiadaan pemain import pertahanan, Abdoulaye Youssouf Maiga yang digantung satu perlawanan akibat tiga kad kuning sebelum ini, jelas memudahkan kerja jentera serangan skuad Harimau Selatan untuk membelasah tuan rumah.

Pelawat mengasak kubu T-Team menerusi dua percubaan Gonzalo Gabriel Cabrera minit kelapan disusuli Mohammed Ghaddar dua minit selepas itu tetapi diselamatkan penjaga gol The Titans.

Pada minit ke-11, Ghaddar berjaya menggegar gawang tuan rumah hasil bola lintang Gabriel Miguel Guerra, namun dipersalahkan kerana menggunakan tangan.

Tandukan Ignacio Insa pula hanya singgah di palang gol selepas menyambar bola sepakan percuma yang dilakukan kapten pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-18.

Asakan bertali arus pelawat gagal dikekang pertahanan tuan rumah apabila JDT membuka jaringan menerusi rembatan Guerra pada minit ke-22.

Begitupun, tuan rumah hampir menyamakan kedudukan namun tandukan Yannick N'djeng sedikit melepasi tiang sebelah kanan gawang JDT yang dikawal Mohd Izham Tarmizi Roslan, dua minit berselang.

Ghaddar menambah gol kedua buat pasukannya hasil hantaran Safiq minit ke-40 sebelum S Kunanlan mengukuhkan kedudukan JDT tiga minit selepas itu.

Bersambung babak kedua, Guerra melebarkan jaringan pada minit ke-58 sebelum pemain pertahanan, Mohamad Fadhli Mohd Shah menanduk masuk bola sepakan sudut Safiq minit ke-77.

Gawang T-Team yang dikawal Mohd Hafidz Romly terus dirobek menerusi rembatan deras Cabrera dari dalam kotak penalti pada minit ke-81 manakala gol tunggal T-Team disumbang N'djeng, hasil sepakan penalti pada minit ke-83.

Berita Harian X