Selasa, 25 Julai 2017 | 11:39pm
PENYERANG Sabah, Rodoljub Paunovic (kiri) cuba melepaskan diri dari kawalan pemain pertahanan JDT II pada saingan Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting
PERTAHANAN Sabah, Rawilson Batuil (tengah) menanduk bola masuk ke gawang JDT II menewaskan Samuel Jacob Somerville (kanan) pada saingan Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

Liga Perdana: Sabah, JDT II terikat

KOTA KINABALU: Pasukan Sabah hanya sekadar mampu berkongsi mata dengan Johor Darul Ta'zim (JDT II) apabila terikat 1-1 dalam aksi Liga Perdana, di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

Skuad Badak memiliki peluang seawal minit pertama menerusi Lee Gil Hoon yang menerima hantaran sepakan percuma Sabri Sahar, bagaimanapun tandukannya tinggi melepasi palang gol lawan.

Pada minit kelima, giliran JDT II pula mendapat peluang hasil cubaan Muhammad Hadi Fayyadh Abd Razak di dalam kotak penalti, namun, sepakannya juga tinggi melepasi palang.

Permainan selepas itu menyaksikan bola hanya tertumpu di tengah padang dengan kedua-dua pasukan gagal menembusi benteng pertahanan lawan masing-masing.


PENYERANG Sabah, Rodoljub Paunovic (dua dari kiri) dikawal ketat pemain pertahanan JDT II pada saingan Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

Bagaimanapun, Sabah akhirnya mendapat gol pendahuluan pada minit ke-31 menerusi tandukan ketua pasukan, Rawilson Batuil yang mendapat hantaran sepakan percuma Sabri bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Pada minit ke-39, JDT II hampir menyamakan kedudukan hasil hantaran sepakan percuma Nicolas Alberto Fernandez ke dalam kotak penalti. Bagaimanapun, dua cubaan berturut-turut pemain mereka selepas itu berjaya dihalang pertahanan Sabah.

Gol penyamaan yang dicari-cari JDT II akhirnya terhasil pada minit ke-44 hasil jaringan Shahfiq Shahrudin.

Ia berpunca hasil sepakan percuma Nicolas yang gagal disepak baik pertahanan Sabah, Francis Kasonde, dan Shafiq kemudian bijak melakukan penyudah.

Bermula babak kedua, tiada cubaan bahaya dilakukan kedua-dua pasukan dan peluang terbaik hanya hadir pada minit ke-75 oleh Sabah.

Bagaimanapun, cubaan penyerang import tuan rumah, Rodoljub Paunovic yang menerima lorongan Gil Hoon berjaya dihalang pertahanan lawan.

Tindakan kedua-dua pasukan melakukan pertukaran dengan pasukan Sabah memasukkan Leopold alfonso Otong dan Hamran Peter manakala JDT II membawa masuk Rozaimi Abd Rahman dan Alaxander Moreton Smith juga gagal mengubah kedudukan berkenaan.

Kedudukan 1-1 itu kemudian kekal sehingga pengadil perlawanan, Muhammad Nasrudin Tamrin meniupkan wisel penamat.

Berita Harian X