Rabu, 26 Julai 2017 | 11:35pm

Liga Super: FELDA 'toreh' Selangor

MARAN: FELDA United FC menemui semula rentak kemenangan apabila menewaskan Selangor 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam ini.

Kemenangan itu hasil jaringan Thiago Augusto pada minit ke-40, Ifedayo minit (m-43) dan kapten, Shukor Adan (m-75) dengan gol tunggal Selangor dijaringkan Francis Forkey Doe pada masa kecederaan babak pertama.


Pemain Felda United, Norshahrul Idlan Talaha (kiri) diasak pemain Selangor, Kannan Kalaiselvan dalam saingan Liga Super 2017 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian B Satianathan menduduki semula kedudukan keempat Liga Super dengan mengumpul 29 mata selepas 18 perlawanan.

Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan yang memburu kemenangan saling berbalas serangan dan Augusto hampir membuka jaringan namun sepakan dalam kotak penaltinya ditampan penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Khalid.

Forkey Doe yang menyarung jersi FELDA United pada musim lalu juga hampir memberi gol pertama pada minit ke 37 namun sepakan lambungnya berjaya diselamatkan Mohd Farizal Harun.

Gol pertama dicari FELDA United akhirnya menjelma pada minit ke-40 menerusi Augusto yang menanduk sepakan sudut Mohd Alif Mohd Yusof.

Tiga minit selepas itu, Ifedayo menambah derita Selangor apabila menjaringkan gol kedua The Fighters selepas menolak masuk bola yang sebelum itu ditepis Khairul Azhan bagi menyelamatkan sepakan Norshahrul Idlan Talaha.

Ketika separuh masa pertama hampir tamat, Forkey Doe menyalakan semangat Selangor apabila menjaringkan gol menerusi sepakan kencang dari luar kotak penalti selepas menerima lorongan set-piece sepakan percuma Mohd Amri Yahyah.

Bersambung babak kedua, Selangor melancarkan serangan bagi mencari gol penyamaan menerusi gandingan Forkey Doe dan Mohd Amri Yahyah namun gagal.

Sebaliknya, Shukor mengesahkan kemenangan FELDA United menerusi tandukan hasil set-piece sepakan percuma Ifedayo pada minit ke-75.

Berita Harian X