Selasa, 1 Ogos 2017 | 11:29pm
PEMAIN FELDA United, Thiago Augusto Fernandes menanduk bola sambil diasak penjaga gol PKNS FC, Muhammad Zamir Selamat dalam saingan Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka. - Foto Muhd Asyraf Sawal

FELDA bangkit jinakkan PKNS FC

MARAN: FELDA United menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila bangkit dua kali selepas ketinggalan kepada PKNS FC sebelum merakam kemenangan 3-2 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, di sini, sebentar tadi.

Skuad PKNS FC kendalian Sven Gartung terlebih dulu memperoleh jaringan hasil rembatan Bobby Gonzales pada minit ke-31 pada babak pertama.

Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Pengendali FELDA, B Satianathan melakukan perubahan taktikal sebaik saja bersambung babak kedua yang menyaksikan pemain import mereka, Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-46.

Rentak permainan pantas kedua pasukan sepanjang aksi separuh masa menyaksikan berlaku beberapa insiden terjahan keras oleh pemain kedua pasukan.

Skuad PKNS FC terus mencari gol pendahuluan dan hasilnya, mereka meraih sepakan penalti pada minit ke-60 selepas pemain import, Fabio Miguel Lourenco Ferreira dijatuhkan di dalam kotak penalti.

Sepakan Mohd Nazrin Syamsul Bahri berjaya menewaskan penjaga gol FELDA United, Muhd Ilham Amirullah Razali untuk meletakkan PKNS mendahului 2-1.

Namun, kapten FELDA United, Muhammad Shukor Adan sekali lagi berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-73 hasil tandukan mengelirukan selepas bijak menyambut bola tendangan percuma dari luar kotak penalti yang diambil Zah Rahan Krangar.

Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi akhirnya muncul wira FELDA United apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-75 melalui rembatan jarak dekat ketika keadaan kelam kabut di hadapan gawang PKNS FC.

Keputusan FELDA United 3-2 PKNS FC kekal hingga tamat permainan dan keputusan itu melayakkan ke saingan suku akhir selepas meraih 11 mata daripada lima perlawanan.

Berita Harian X