Rabu, 2 Ogos 2017 | 12:15am
PEMAIN Kedah, Mohd Syazwan Zainol (kiri) melarikan bola daripada direbut pemain UITM FC, Muhammad Faizal Mohd Ariff pada saingan TM Piala Malaysia di Stadium Darulaman. - Foto Amran Hamid

Helang Merah gah ke suku akhir

ALOR SETAR: Kedah mengesahkan slot ke peringkat suku akhir Piala Malaysia selepas menundukkan UiTM FC, 1-0 dalam saingan Kumpulan C, di Stadium Darul Aman, di sini, malam tadi.

Lima minit aksi bermula, Kedah melancarkan percubaan bahaya menerusi Fakri Saarani yang menerima hantaran silang Rizal Ghazali dari bahagian kiri gawang UiTM, namun percubaannya berjaya ditangkap kemas penjaga gawang, Soffuan Tawil.

UiTM bangkit dengan peluang terbaik melalui sepakan percuma yang dilakukan oleh Donghyun Do, tiga minit selepas itu, namun penjaga gol Kedah, Farhan Roslan lebih bersedia dengan menumbuk keluar bagi menyelamatkan keadaan.

Liridon akhirnya memecah kebuntuan apabila percubaannya pada minit ke-23 menghasilkan gol tunggal perlawanan selepas memanfaatkan bola hasil hantaran Fitri Omar dari bahagian kanan pintu gol UiTM.

Kedah sekali lagi mendapat peluang keemasan pada minit ke-37 melalui gerakan Akram Mahinan yang membuat hantaran kepada Baddrol Bahtiar, namun pemain UiTM terlebih dulu memintas hantaran itu sebelum sempat Baddrol melakukan percubaan.

Bermula babak kedua, Fakri Saarani hampir menambah gol kedua Kedah apabila menerima hantaran Syazwan Zainon namun percubaannya di depan pintu gol tersasar dan melepasi palang gol.

UiTM melalui Dongyun Do bertindak balas menerusi percubaan sepakan leret pada minit ke-50 tetapi Farhan Abu Bakar berjaya menggagalkan percubaan itu.

Peluang terbaik UiTM untuk menyamakan kedudukan muncul kepada minit ke-86 tidak kesampaian apabila tandukan pemain import mereka, Akanni Sunday terkena tiang sebelum diselamatkan Farhan.

Berita Harian X