Khamis, 3 Ogos 2017 | 8:52pm
GAYA pemain Negeri Sembilan meraikan jaringan ketika menentang Pahang pada saingan Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, 29 Julai lalu. - Foto Hazreen Mohamad
GAYA pemain Negeri Sembilan meraikan jaringan ketika menentang Pahang pada saingan Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, 29 Julai lalu. - Foto Hazreen Mohamad

Misi benam PDRM

SEREMBAN: Kekalahan besar kepada T-Team dalam saingan Piala Malaysia Selasa lalu, perlu dilupakan segera pemain Negeri Sembilan menjelang pertembungan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dalam aksi Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Mohamad Haslah Mohd Amin menegaskan pasukannya mesti meraih kemenangan ke atas PDRM untuk peluang mencapai sasaran layak ke Liga Super musim depan.

Sehubungan itu, skuad bimbingan Mohd Asri Ninggal perlu menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri bagi mendapatkan tiga mata berharga.

"Pertembungan dengan PDRM ini boleh diibaratkan sebagai aksi hidup mati kerana ia akan menentukan laluan ke Liga Super musim depan.

"Pemain perlu fokus dan berikan persembahan terbaik dalam memastikan kemenangan dapat dicapai ke atas PDRM," katanya hari ini.

Ketika ini, empat pasukan - Negeri Sembilan, Terengganu, Kuala Lumpur dan PKNP FC yang kini mendominasi kelompok teratas carta Liga Perdana, bersaing hebat dalam misi memburu dua slot ke Liga Super musim depan.

Ketika aksi cuma berbaki empat perlawanan, skuad Hobin Jang Hobin kini berada di tangga ketiga carta liga dengan mengutip 37 mata, ketinggalan satu mata dengan Kuala Lumpur dan Terengganu, yang berada dua tangga teratas.

Berita Harian X