Rabu, 9 Ogos 2017 | 9:41am
PHILIPPE Coutinho.- Foto AFP

Coutinho selangkah ke Barcelona

BARCELONA: Barcelona dilaporkan semakin hampir membeli perancang Liverpool, Philippe Coutinho dengan rekod perpindahan kelab bagi menggantikan kekosongan ditinggalkan Neymar yang berhijrah dengan rekod dunia ke Paris Saint-Germain.

Gergasi Sepanyol itu sudah berminat dengan Coutinho sebelum perpindahan Neymar dengan nilai 222 juta euro (RM1.112 bilion) ke Paris minggu lalu.

Dan akhbar berpangkalan di Barcelona, Sport melaporkan 'persoalan beberapa jam' mengenai perjanjian buat pemain berusia 25 tahun itu dengan pegawai Barca sudah berada di England semalam untuk menyelesaikan perjanjian itu.

Sport dan ESPN Deportes masing-masing mendakwa Barca akan membayar yuran perpindahan 90 juta euro (RM453 juta).

Bagaimanapun, menurut ESPN, bayaran bonus akan meningkatkan jumlah keseluruhan kepada 120 juta euro (RM604 juta).

Barca percaya pemain antarabangsa Brazil itu memiliki kemampuan bukan hanya menggantikan Neymar di samping Lionel Messi dan Luis Suarez selaku tiga bintang di jentera serangan, tetapi juga menyokong kapten yang berusia 33 tahun, Andres Iniesta di tengah.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memberitahu Barcelona "untuk menyimpan tenaga" minggu lalu dengan menegaskan pemain itu bukan untuk dijual.

Bagaimanapun, Coutinho tidak bermain ketika skuad Liverpool menang perlawanan persahabatan menentang Athletic Bilbao di Dublin, hujung minggu.

Coutinho sudah memiliki pengalaman dalam La Liga dan mengharungi musim berjaya selama enam bulan ketika dipinjamkan ke Espanyol pada 2012.

Dia kemudian menyertai Liverpool pada Januari 2013 dengan harga hanya 8.5 juta pound (RM42 juta). - AFP

Berita Harian X